IPOH: Kunjungan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil ke Rumah Media Perak, di Medan Istana di sini hari ini membuka peluang bagi sesi ramah mesra serta dialog bersama pengamal media negeri ini.

Antara fokus utama yang menjadi topik perbincangan bersama kira-kira 100 pengamal media itu termasuk isu kebajikan wartawan sambilan, hak cipta serta keperluan asas di Rumah Media Perak.

Fahmi ketika bercakap pada sidang media berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung aduan dan cadangan penambah baikan dari rakan media dan beliau memberi jaminan akan membawa perkara itu ke peringkat atasan.

"Lawatan ke Rumah Media Perak ini adalah untuk kita cuba memahami keadaan, mungkin cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan media yang bertugas.

"Saya difahamkan ramai rakan media di pelbagai negeri berdepan dengan keadaan yang sedikit mencabar bila biro masing-masing ada atau tidak pejabat atau pun ruang kerja.

"Saya ambil maklum isu-isu yang dibangkitkan, ada yang menyentuh isu kebajikan secara amnya atau su berkait dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) caruman PERKESO,isu internet dan isu hak milik cipta.

"Termasuk isu hak milik cipta, hasil titik peluh kerja wartawan dan rakan media di lapangan tapi diambil disalah guna sehinggakan tanda watermark juga dibuang, saya rasa ini antara perkara penting yang perlu kita teliti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka Kelab Media Perak di Rumah Media Perak, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri KDD, Teo Nie Ching dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai forum bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang berlangsung di Perak bermula semalam hingga hari ini, beliau berkata banyak pengisian yang boleh menjadi panduan kepada pengamal media di Malaysia.

"Saya amat hargai pandangan yang disampaikan oleh rakan-rakan media terutama dari Indonesia di forum tersebut.

"Kadangkala dalam bekerja, kita lihat situasi sendiri, kadangkala situasi di negara jiran boleh memberikan sediki ruang untuk kita sama ada menghargai ataupun berusaha ke arah yang lebih baik.

"Cabaran yang dihadapi di Indonesia malah di negara rantau Asia Tenggara bagi saya boleh menjadi sama ada pengajaran ataupun refleksi apa yang perlu kita lakukan untuk menambah baik ekosistem media sosial," katanya lagi.

Dalam majlis tersebut, Fahmi turut mengumumkan dana sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi menaiktaraf kemudahan di Rumah Media Perak. -PERAKTASTIC-