Galeri Rumah Lat yang dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, merupakan satu penghormatan terbesar kepada kartunis tersohor tanahair, Dato’ Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

Monumen ini, mengetengahkan elemen seni bina melayu serta suasana sosial budaya perkampungan yang melatari perjalanan seni ‘Seniman Diraja’ ini.

Selain mempamerkan sejarah dan liku-liku perjalanan kehidupan seorang kartunis, galeri ini turut merakamkan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan bermula sebagai seorang ‘kampung boy’ berhijrah menjadi ‘town boy’ sehinggalah ke termasyhur ke peringkat antarabangsa.

Keluasan keseluruhan tapak Galeri dan Rumah Lat yang terletak di Jalan Bemban, Batu Gajah ini ialah seluas 4493 meter persegi.

Pembinaan kedua-dua bangunan ini melibatkan beberapa elemen seperti sejarah, keunikan dan kehebatan Lat sebagai kartunis negara disamping rekabentuk hiasan dalaman yang kontemporari.

Galeri Lat:
Galeri Lat merupakan sebuah bangunan konkrit satu tingkat yang menempatkan ruang pameran hasil karya beliau.

Ruang anjung bangunan ini, mempamerkan koleksi lukisan terpilih karikaturnya dari tahun 1962 termasuk biografi beliau.

Selain itu, ia juga terbahagi kepada beberapa ruang pameran, audio visual, kafe, taman karya Lat dan ruang pejabat.

Kedai cenderahati turut menarik perhatian pengujung antara yang boleh dimiliki ialah t-shirt, topi, mug dan beberapa lagi.

Rumah Lat:
Rumah Lat pula merupakan rumah Melayu berbumbung lima atau Rumah Limas bercirikan seni bina tradisional Perak.

Pembinaannya mempamerkan rumah berasaskan sosio budaya setempat dengan menggunakan bahan-bahan tempatan seperti kayu.

Rumah ini dilengkapi dengan perabot bermula dari bahagian anjung, pertengahan dan dapur.

Karya-karya Lat yang dipamerkan selain mempromosikan kesedaran kepada pengunjung ia juga mampu menggalakkan pemikiran kritis dan memupuk rasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Anak kelahiran Kota Bharu, Perak ini, telah melibatkan diri dalam dunia kartun sejak berusia lapan tahun.

Penghasilan komik pertamanya berjudul Tiga Sekawan menangkap Penchuri tahun 1964 ketika berusia 13 tahun sebagai titik tolak kerjayanya sebagai kartunis sehingga hari ini.

Karya-karya beliau seperti Kampung Boy mencerminkan nilai budaya Melayu desa yang halus, kasih sayang, keluargaan serta membawa erti persahabatan.

Pada masa yang sama, karyanya memaparkan masyarakat majmuk Malaysia serta keluarga di desa dan kota dengan wajah, telatah dan watak yang tersendiri.

Menurut Lat, berlatar belakangkan jenama ‘Kampung Boy’, secara tidak langsung telah mempromosikan kebudayaan masyarakat Malaysia secara amnya dan kehidupan masyarakat Melayu Perak secara khususnya.

“Rumah Kampung Boy itu sendiri, merujuk kepada sebuah rumah adat. Disebaliknya terdapat banyak makna tersirat, antaranya; mendidik anak bangsa dan generasi muda, mengenali adat dan budaya masyarakat majmuk yang hidup dengan aman dan damai walaupun berbeza bangsa dan kepercayaan.

“Kini masyarakat antarabangsa telah mengenali adat, budaya dan cara hidup kita melalui kisah yang dipaparakan di dalam komik The Kampung Boy”, katanya.

Galeri Rumah Lat dibuka kepada pengunjung mulai 9 Julai 2023 setiap hari kecuali Isnin bermula 10.00 pagi hingga 4.00 petang. -PERAKTASTIC-

Ends//