IPOH: Bukan sekali, tetapi berkali-kali inisiatif dan usaha dipacu bagi menghidupkan kawasan yang dahulunya terkenal dengan hab perkhidmatan bas Medan Gopeng dan kini dinamakan Kompleks Silveritage.

Namanya cukup indah, unik dan segar namun sayangnya bangunan ini seperti tidak berpenghuni, kalau ada pun hanya ada beberapa buah yang kekal beroperasi.

Mujur juga ada medan selera yang dahulunya merupakan sebahagian peniaga di dalam Megoplex, baru nampak meriah pengunjung keluar masuk ke sini.

Jika tidak, lengang dan sunyi, ini bukan cakap kosong tetapi tanyalah kepada penduduk Ipoh pasti akan bercakap perkara sama.

Bercakap soal kerja memeriahkan bangunan ini dengan aktiviti perniagaan dan sebagainya, ia sudah lama dilaksanakan.

Malah tidak keterlaluan dikatakan sudah bersilih ganti pentadbiran kerajaan berlainan, namun seakan tiada perubahan.

Tidak jauh dari Silveritage ialah Megoplex, bangunan nostalgia yang dahulunya berfungsi sebagai pusat perniagaan dan beli-belah.

Jika ditanya orang ramai di sini, pasti sarat dengan nostalgia khususnya ketika musim perayaan.

Tinjauan ke Silveritage kali ini menemukan penulis dengan para peniaga yang ada di situ, kebanyakan daripada mereka setuju bahawa kawasan itu agak suram.

Salah seorang pekerja kedai menjual 'riding gear' motosikal, Muhamad Afiq Haiqal berkata kunjungan pelanggan di tingkat dua kompleks itu boleh dibilang dengan jari pada hari biasa.

Namun pada hujung minggu, boleh dikatakan ada juga pelanggan tetap yang datang dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Johor untuk mencari kelengkapan motosikal di situ.

"Kami sudah bertapak lima bulan di sini, boleh kata setakat ini agak perlahan jualan dan kehadiran pelanggan, mujur kami ada pelanggan tetap sebelum ini.

"Salah satu sebabnya kedudukan kompleks ini yang tidak sesuai, agak keliru dan susah untuk orang masuk di sini.Mereka kena buat pusingan U, kalau terlepas memang susah hendak patah balik.

"Boleh kata orang datang sini sebab ada medan selera menjual makanan, jarang orang naik di tingkat dua ini. Diharapkan lebih banyak promosi atau aktiviti dijalankan di sini untuk tarikan umum," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga di situ, Amzari Zamri berkata salah satu faktor kemungkinan mengapa kawasan itu agak sepi kerana jalan masuk yang agak mengelirukan, lebih-lebih lagi kepada orang dari luar Ipoh.

Sehubungan itu dia berpendapat perlunya satu simpang masuk yang lebih sistematik ke kompleks berkenaan, di samping menambah lebih banyak vendor bagi menghidupkan kawasan tersebut.

"Kalau kita lihat pintu masuk ke sini kecil dan agak mengelirukan dari jalan besar, kalau boleh dibuat simpang empat di hadapan kompleks ini rasanya sangat membantu," katanya.

Sebelum ini Silveritage Galleria merupakan hab perkhidmatan bas bagi bandar-bandar utama di Perak. Ia juga berfungsi sebagai terminal bagi perkhidmatan bas ekspres seluruh negara.

Kompleks tersebut telah dinaik taraf pada tahun 2015 dan operasi Kompleks Silveritage yang baharu dimulakan pada Jun 2017. Ia menjadi pusat sehenti bagi menampilkan produk dan barangan dari Perak. - PERAKTASTIC-