Ipoh- Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Puteri, Jalan Sungai Pari, julung kali melakar sejarah setelah V. Anaga Lakkshmee, 17, muncul sebagai johan Anugerah NILAM Kebangsaan 2023, kategori Sekolah Menengah Bahasa Inggeris (Individu).

V. Anaga Lakkshmee, murid tingkatan 5 Anggerik itu berjaya memikat hati para juri dengan menewaskan empat peserta bagi kategori tersebut.

Beliau, anak sulung dari dua beradik berkata tabiat membaca adalah rahsia kejayaannya selain sokongan keluarga, bimbingan guru-guru dan aktiviti bengkel serta latihan yang dianjurkan.

“Hubungan akrab sesama rakan kelas yang sentiasa berkongsi ilmu dalam membantu latihan soalan-soalan spontan juga antara faktor kejayaan saya.

“Tidak dinafikan membaca adalah platform utama kejayaan saya. Amalan membaca adalah kunci kepada penyebaran ilmu, pegetahuan dan menambah penguasaan sesebuah bahasa.

“Menerusi Program NILAM ini, peserta bukan sahaja perlu menghafal bahan bacaan yang dipilih tetapi perlu memahami konsep dan membuat kajian mendalam berkaitan tema bahan bacaan.

“Saya tidak berfikir untuk membelanjakan wang hadiah ini, apa yang pasti saya akan simpan ke dalam akaun bank sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke menara gading kelak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah NILAM Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Aeon Klebang, di sini semalam.

Beliau menerima hadiah wang tunai bernilai RM500.00, piala dan sijil pengiktirafan.

Dr. Kalaiselvi Shanmugam,47, ibu kepada Anaga Lakkshmee, menyifatkan Program NILAM merupakan sebuah landasan terbaik untuk murid menambah ilmu pengetahuan serta membina keyakinan diri.

“Program NILAM juga berjaya melahirkan murid yang berfikiran kritis dan kreatif selain membantu pertumbuhan kognitif serta menguatkan memori.

“Murid juga berpeluang membina jaringan persahabatan yang luas serta membentuk personaliti jati diri,” katanya yang juga merupakan seorang seorang guru di SMK Buntong.

Program NILAM dilaksanakan setiap tahun, di setiap sekolah di bawah seliaan Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan Daerah dan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri dengan kerjasama dan pemantauan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan.

Tahun ini, Negeri Perak dipilih sebagai tuan rumah bagi majlis berprestij ini. Sebanyak 11 kategori dipertandingkan yang melibatkan penyertaan dari 14 buah negeri di Malaysia.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Dasar dan Kurikulum, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Mohd Fauzi Mahson.

Sementara itu, Muhammad Uwais Mohd Hazril Munir@Umar, 17, murid SM Sains Kepala Batas, Pulau Pinang menjuarai dua kategori iaitu Kategori Sekolah Menengah Bahasa Melayu (Individu) dan Kategori Sekolah Menengah Bahasa Melayu (Kumpulan) bersama peserta dari SMK Infant Jesus Convent Melaka, SM Sains Kubang Pasu Kedah dan Kolej Tunku Kurshiah Negeri Sembilan.

Peserta dari Sekolah Tun Fatimah Johor bersama peserta dari SMK Air Putih Pahang, Sekolah Sultan Alam Shah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan SMK Syed Sirajuddin Perlis muncul johan Kategori Sekolah Menengah Bahasa Inggeris (Kumpulan).

Tujuh kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Kategori Kurang Upaya Penglihatan, Kategori Kurang Upaya Pendengaran, Kategori Masalah Pembelajaran, Kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu ( Individu); Kategori Sekolah Rendah Bahasa Inggeris (Individu); Kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu (Kumpulan) dan Kategori Sekolah Rendah Bahasa Inggeris (Kumpulan).

Ends//