Batu Gajah: Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Perak (PTA), Dato’ Mohammad Odzman Abdul Kadir menggesa Lembaga Muzium Negeri Perak (LMNP) agar mengkaji harga tiket masuk ke Galeri Rumah Lat, supaya semua golongan mampu berkunjung ke produk pelancongan baharu itu.

Menurutnya, kunjungan pelawat ke Galeri Rumah Lat akan berkurangan sekiranya  harga tiket yang dikenakan terlalu tinggi terutamanya keadaan ekonomi sekarang  yang  tidak stabil.

“Saya yakin kunjungan pelawat akan berkurangan dan lama-kelamaan galeri ini tiada mendapat sambutan sekiranya pada bulan hadapan (September) harga tiket masuk ke galeri dikenakan pada kadar yang  tinggi.

“Saya berharap harga tiket yang dikenakan biarkan pada harga yang mampu milik kepada semua lapisan masyakat.

“Lat merupakan seorang kartunis yang disayangi oleh semua lapisan masyarakat dan berbilang kaum malah dikenali di peringkat antarabangsa. Jadi dengan itu, inilah masa yang terbaik untuk peminat-peminatnya bermesra dan mengenalinya lebih dekat.

“Sekiranya harga tiket mahal, sudah pasti ada golongan yang tidak berkemampuan untuk melihat hasil seni yang mempunyai nilai nostalgia tersendiri kerana mereka membesar dengan karya-karya kartunis negara tersohor ini,” katanya kepada Ipoh Echo ketika ditemubual di Galeri rumah Lat di Majlis Ipoh ‘City Fun Ride’ to Galeri Rumah Lat, di sini hari ini.

Program  Ipoh ‘City Fun Ride’ to Galeri Rumah Lat menghimpunkan seramai 73 orang peserta termasuk pemain-pemain industri pelancongan, agen pelancongan dan pengusaha-pengusaha hotel.

Antara produk pelancongan yang dilawati ialah GoChin Tambun Pomelo Argo Farm, Tasek Cermin, Chiang Jiang Coffee. Taman Herba, Kellie’s Castle dan Galeri Rumah Lat.

Program selama sehari ini anjuran bersama PTA, Majlis Bandaraya Ipoh, Lembaga Muzium Perak, Majlis Daerah Batu Gajah dan Polis DiRaja Malaysia.

Acara pelepasan peserta telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin.

Hadir sama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Mohamad Amir Mohd Dahalan, Ahli Majlis MBI, Datuk Ahmad Hariri Kamaruddin dan Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak. -PERAKTASTIC-