Batu Gajah- “Saya terharu melihat sokongan dan semangat orang ramai terhadap Galeri Lat. Saya berharap galeri ini akan terus dikunjungi,” begitulah luahan rasa Seniman DiRaja, Dato’ Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

Katanya lagi, kebanyakkan pengunjung tertarik dengan rumah bumbung 5 atau Rumah Limas potongan perak yang dibina menggunakan kaedah seni bina tradisional.

“Para pengunjung yang hadir kesini ingin melihat lebih jelas rumah ‘Kampung Boy’ yang mempunyai pelbagai makna tersirat dari segi reka bentuknya selain mengenali adat dan budaya masyarakat melayu sejak tahun 70an.

“Kunjungan orang ramai dari pelbagai kaum sungguh mengharukan saya. Saya mengkagumi dan berbangga dengan semangat mereka yang masih menghargai sentuhan karya saya.

“Saya sendiri dapat merasanya keghairahan pengunjung untuk melihat Geleri Rumah Lat ini lebih-lebih lagi saya dapat bertemu mereka dan bergambar bersama-sama. Saya sentiasa mengalu-alukan kunjungan pelawat ke sini dan boleh berjumpa saya dan bergambar kenangan tetapi mungkin pada hari tertentu sahaja.

“Saya akan maklumkan di platform media sosial  hari dan tarikh yang sesuai untuk saya ke Galeri Rumah Lat untuk bertemu dengan peminat-peminat saya,” katanya kepada Ipoh Echo ketika ditemubual di Majlis Ipoh ‘City Fun Ride’ to Galeri Rumah Lat, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Perak (PTA), Dato’ Odzman Abdul Kadir berkata Galeri Rumah Lat merupakan produk pelancongan baharu yang berpotensi dan mampu menjadi salah satu ikon pelancongan tempatan yang dibanggakan.

“Galeri ini sesuatu yang terbaik untuk sektor pelancongan negeri ini. Namun promosi secara berterusan harus dilakukan agar ianya tidak akan menjadi antara sebuah projek gajah putih.

“Saya menggesa semua agensi dan NGO agar mengajurkan pelbagai aktiviti di galeri ini. Begitu juga pihak Lembaga Muzium Negeri Perak dan Majlis Daerah Batu Gajah harus sentiasa melaksanakan aktiviti kemasyarakatan agar galeri ini sentiasa dikunjungi," ujarnya. - Peraktastic-