IPOH- Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Tarcisian Convent Ipoh, berjaya mengalahkan 49 buah sekolah dan muncul sebagai johan Jerayawara Terbaik, Sekolah Menengah Daerah Kinta Utara.

Program yang menghimpunkan sebanyak 50 buah sekolah menengah di seluruh daerah Kinta Utara ini, menyaksikan pelbagai hasil kreativiti yang mengintegrasikan tiga mata pelajaran bidang Sains Sosial iaitu Sejarah, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Moral.

Nurun Naeemah Mohamed Husai,15, salah seorang daripada empat wakil SMK Tarcisian Convent itu berkata program jerayawara ini memperkenalkan pendekatan pembelajaran bertema yang membolehkan murid mengkaji sesuatu topik untuk menghasilkan produk dengan menggabungkan tiga subjek pada akhir pembelajaran.

“Aktiviti PBL ini memberi manfaat kepada semua pelajar dalam memberi pengalaman baharu dan ia lebih kepada pembelajaran secara visual yang menarik.

“Apa yang lebih menarik pembelajaran ini merangkumi tiga mata pelajaran yang membuka peluang kepada pelajar untuk menghasilkan satu produk yang mempunyai nilai kreativiti seni yang menarik.

 

“Kami mengambil masa seminggu untuk menghasilkan projek ini dengan mengetengahkan fesyen pakaian tradisional masyarakat Iban. Lebih 90% kami menggunakan bahan-bahan kitar semula,” katanya kepada Ipoh Echo selepas berakhirnya Program Jerayawara Strategi 3 Project Based Learning (PBL) Pembelajaran Bertema Bidang Sains Sosial (Sejarah, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Moral) Sekolah Menengah Daerah Kinta Utara di AEON Big, Falim di sini semalam.

Naib johan jatuh kepada SMK Tambun, ketiga SMK ST.Michael, keempat SABK Maahad Al- Ummah dan kelima SMK Sri Puteri. Kesemua pemenang menerima plak dan sijil penghargaan.

Majlis telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran Bidang Sains Sosial, JPN Perak, Mohammad Azhar Radizuan yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Mohd Fauzi Mahsom.

Mohammad Azhar Radizuan dalam ucapannya berkata penerapan PBL merupakan pembelajaran merentasi kurikulum yang mengintegrasikan isu dan amalan dalam dunia sebenar sekaligus memberi peluang kepada murid mengeksplorasi berdasarkan sumber-sumber yang ada.

“Kefahaman melalui Reka Bentuk (KMR) merupakan salah satu cara pembelajaran merentas subjek secara bertema yang memfokuskan kepada pemantapan pembelajaran bermakna dan
pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Pelaksanaan program ini membolehkan murid-murid mengaplikasikan apa yang dipelajari untuk menghasilkan satu produk yang berguna.

“Program ini dirangka agar dapat memberi satu persepsi positif dalam kalangan murid dan seterusnya, pencapaian murid dalam ketiga-tiga mata pelajaran ini dapat ditingkatkan,” katanya.

Ends///