Batu Gajah: Program Santai Bertanjak Kellie’s Castle V.3 (PSBKCV.3) ternyata mendapat sambutan dengan kehadiran hampir tiga ribu pengunjung, semalam.

Pengurus Besar Istana Kellie, Zamari Muhyi berkata sambutan orang ramai terhadap PSBKCV.3 diluar jangkaan kerana terdapat pelbagai acara menarik dianjurkan sempena Hari Malaysia di seluruh Perak.

“PSBKCV.3 mempunyai keunikannya tersendiri dan sememangnya dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat termasuk pelancongan asing.

“Kebanyakkan pengunjung yang datang teruja menyaksikan persembahan kebudayaan selain memperagakan keunikan busana Melayu tradisional.

“Persembahan seni silat ywarisan Melayu di zaman kesultanan menjadi tarikan utama program ini.

“Program ini akan diteruskan dengan pelbagai acara kebudayaan yang lebih menarik dengan penglibatan lebih ramai NGO di seluruh Perak,” katanya kepada Ipoh Echo.

Hadir sama, ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, pada bulan Oktober depan akan diadakan program Sleep In The Castle (SITC). Program itu membuka peluang orang ramai merasai pengalaman seram dan mencabar namun dijamin selamat.

“Kellies Castle mempunyai keunikan tersendiri yang penuh mistik serta misteri. Pengalaman entiti paranormal oleh peserta sebelum ini sangat menarik dan mencabar.

“Para peserta SITC akan ditempatkan di lima buah bilik berlainan. Bilik-bilik ini adalah antara lokasi yang sentiasa dikunjungi entiti seperti bilik Helen, koridor istana dan bilik dobi.

“Penyertaan adalah terhad kepada 10 orang pada dua malam sahaja iaitu hari Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Tambahnya lagi, pada pertengah bulan Oktober depan juga akan dilangsungkan Program Garden of Arts dengan kerjasama Kraftangan Negeri Perak dan Badan Budaya Perak.

“Program ini merupakan sebuah bazar seni yang mempamirkan jualan produk-produk kraftangan seni dan Budaya Negeri Perak.

“Sempena Tahun Melawat Perak 2024, tiga acara utama telah disenaraikan dalam Kalender Pelancongan Negeri Perak iaitu Progran Santai Bertanjak, Sleep In The Castle dan Kellie’s Night Tour,” katanya. -Peraktastic-