IPOH: Restoran Cawan Mu, De Garden Ipoh mengungguli tempat pertama daripada 10 premis makanan berlesen yang menyertai Pertandingan Restoran dan Kafe Terbersih tahun ini.

Program yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu antara lain untuk meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keceriaan restoran di bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Restoran Cawan Mu, De Garden Ipoh membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 beserta sijil penghargaan.

Manakala tempat kedua jatuh kepada Dragon Seafood Restaurant Sdn Bhd, Falim, yang menerima wang tunai RM1,000 beserta sijil penghargaan.

Sementara itu, ketiga jatuh kepada Wing’s Delight Sdn Bhd, Greentown yang menerima wang tunai RM750 beserta sijil penghargaan.

Rumaizi berkata, tujuh premis lagi menerima hadiah saguhati wang tunai RM250 dan sijil penghargaan.

"Jabatan Kesihatan Persekitaran, MBI telah meningkatkan aktiviti pemantauan bagi memastikan tahap kebersihan dari aspek premis makanan.

"Termasuk penampilan diri pengendali makanan, tempat penyediaan makanan serta kemudahan tandas mencapai sasaran BMW (Bersih, Menawan Dan Wangi) bagi memenuhi kehendak pelancong supaya sentiasa bersih dan selamat.

"Sehingga September lalu, sebanyak 359 daripada 1,072 premis restoran, kafe dan tempat makan yang dinilai pada tahun ini dianugerahkan sijil penilaian Gred A," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyerahaan Anugerah Restoran dan Kafe Terbersih serta Penyerahan Sijil Gred A Sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia.

Tambahnya, menerusi program berkenaan MBI dapat mempromosikan premis restoran dan kafe terbersih, selain menjadi penanda aras kepada yang lain.

"Diharapkan ia mampu mendorong penglibatan dan penyertaan premis makanan gred A yang lain di dalam kawasan MBI untuk menyertai pertandingan ini bagi edisi akan datang," katanya.