IPOH- Pendandang rambut tersohor tanahair, Khaljaksa Khalil tidak ketinggalan turut serta membantu pesakit kanser payu dara sempena Kempen Fight For Pink, Act For Blue yang berlangsung baru-baru ini di Aeon Klebang.

Menurutnya, jemputan dari pihak penganjur Kempen Fight For Pink, Act For Blue, membuka peluang baik untuknya menjalankan kerja amal menerusi kemahiran yang dimilikinya.

“Menerusi kempen ini, kami berjaya menggunting rambut seramai 46 orang, kami menawarkan harga RM5.00 sekepala. Hasil kutipan itu kami serahkan kepada Persatuan Pink Champion Perak (PPCP)

“Selain itu, kami membuka peluang orang ramai untuk mendermakan rambut sepanjang 6 inci untuk dijadikan rambut palsu.

“Seramai lapan orang pengunjung telah menderma rambut mereka. Saya sendiri akan membuat rambut palsu itu dan akan diserahkan kepada pesakit kanser pada satu majlis yang akan diadakan nanti,” katanya yang juga merupakan Pengasas dan Ketua Pengarah Kreatif Khal Hair Salon Sdn Bhd yang terletak di Subang Jaya, Selangor.

Kempen sehari itu, merupakan anjuran Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) dengan kerjasama Kinta Properties Holdings Sdn Bhd dan International Ipoh Fashion Week (IFW).

Sementara itu, Pengerusi PPCP, Mardianah Mohd Yusof berkata pengajuran kempen tersebut memberi impak yang besar dalam menyalurkan pengetahuan tentang kesedaran penyakit kanser payu dara kepada orang ramai.

“Kempen ini bermanfaat khususnya kepada orang ramai. Kami mahu berkongsi pengalaman sebagai pejuang pesakit kanser payu dara yang mempunyai semangat tinggi melawan penyakit ini.

“Kami mengalu-alukan pesakit kanser yang ingin menyertai PPCP bolehlah menghubungi saya di talian 012 516 1240. Saya yakin setelah menyertai PPCP, kenyakinan dan semangat akan terus bertambah dengan pelbagai perkongsian daripada pesakit yang senasib,” katanya. -PERAKTASTIC-