IPOH: Hospital KPJ Ipoh bersedia untuk menerima pesakit dari luar sekali gus menyahut kesediaan menjadikan Ipoh sebagai bandar raya kesihatan setanding dengan negeri lain.
 
Sebagai hospital swasta pertama di bandar ini, Hospital KPJ Ipoh juga merupakan antara cawangan yang terbaik dalam rangkaian hospital tersebut.
 
Malah, Hospital KPJ Ipoh juga merupakan satu-satunya pusat perubatan swasta di bandaraya ini yang mempunyai kepakaran merangkumi semua jenis rawatan.
 
Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Ipoh, Badrul Hisyam Ibrahim berkata, Ipoh boleh menjadi salah sebuah bandar raya perubatan di Malaysia kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri.
 
"Saya menyambut baik cadangan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin bahawa Ipoh bakal menjadi bandar raya kesihatan menjelang 2025 berikutan kerancakan pembinaan beberapa pusat perubatan ketika ini.
 
"Bagi Hospital KPJ Ipoh, kita telah pun mempersiapkan ke arah tersebut apabila mempunyai kepakaran dalam semua bidang rawatan.
 
"Ketika ini kita mempunyai lebih 150 doktor residen dengan bidang kepakaran masing-masing," ujarnya.
 
Beliau berkata demikian pada majlis minum petang dan ramah mesra KPJ Ipoh bersama petugas media baru-baru ini.
 
Mengulas lanjut kata Badrul Hisyam, KPJ Ipoh ketika ini ada menerima pesakit dari Indonesia disebabkan keyakinan mereka kepada perkhidmatan yang disediakan.
 
"Pesakit ini sanggup mengambil penerbangan dari Jakarta misalnya ke Singapura sebelum mengambil penerbangan terus ke Ipoh.
 
"Justeru, salah satu aspek perlu dalam hal ini ialah kemudahan termasuklah pengankutan udara," ujarnya.
 
Rumaizi sebelum ini berkata, pembinaan beberapa pusat kesihatan di sekitar bandar raya ini melibatkan pelaburan melebihi RM1 bilion pada fasa awal.
 
Kebanyakan infrastruktur sedang dalam pembinaan dan yang sudah siap dibina antaranya Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) dan Hospital Seri Botani.
 
Manakala hospital di Bandar Sunway, Tambun (Pusat Perubatan Sunway) yang dalam pembinaan dijangka siap tidak lama lagi. -PERAKTASTIC-