Keunikan dan kelazatan hidangan Melayu Perak tidak hanya tertumpu pada cara penyediaannya, tetapi mempengaruhi adat dan budaya yang terpelihara sepanjang zaman.

Kelazatan Gulai Tempoyak Ikan Patin hingga ke Rendang Tok yang kaya dengan keharuman rempah ratusnya, antara khazanah masakan tradisi yang menyimpan pelbagai rahsia.

Baru-baru ini Ipoh Echo/Peraktastic berpeluang menelusuri semula warisan masakan tradisional Melayu Perak yang diwariskan dari generasi ke generasi di Hotel Casuarina@Meru.

Pengurus Besar Hotel Casuarina@Meru, Sabrina Ahmad Tah berkata promosi ‘Set Talam’ telah bermula sejak September 2023 sehingga sepanjang tahun 2024 bersempena Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024).

“Set Talam mengabungkan pelbagai hidangan tradisional negeri Perak seperti masakan Ikan Patin Masak Tempoyak, Rendang Tok, Sambal Tempoyak Pucuk Ubi dan Ikan Bilis, Ikan Loma Pekasam, Sambal Petai Sotong, Kari Ikan Sembilang, Daging Masak Hitam, Kulat Sisir Bersama Pucuk Paku Goreng, Rendang Pedas Daging, Masak Lemak Nangka, Ulam-ulaman Kampung seperti Jering, Petai dan sebagainya.

“Selain itu, kuih-kuih tradisional Perak turut dhidangkan sebagai pemanis mulut antaranya, Kuih Limas, Kuih Cecemek, Bubur Anak Lebah, Puteri Mandi dan pelbagai lagi. “Promosi set talam ini berharga RM60.00 bersih dan dihidangkan untuk dua orang. Set talam ini turut disajikan di Hotel Casuarina Kuala Kangsar dan Pulau Pangkor,” katanya.

Tambahnya lagi, pelbagai menu lebih istimewa bakal disajikan di masa akan datang mengikut daerah di negeri Perak antaranya Laksa Mee, Mee Udang, Gulai Daging Pisang Muda, Gulai Siput Sedut, Telur Dadar Kulat Sisir dan banyak lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif pengurusan Hotel Casuarina@Meru dalam mengetengahkan warisan kulinari dan budaya negeri Perak mampu menjadi tarikan pelancong sempena TMP2024.

“Promosi ini memberi pengalaman kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk mencuba keunikan cita rasa makanan tradisi Melayu Perak selain berupaya mengangkat negeri Perak menjadi sebuah destinasi pelancongan makanan utama di Malaysia.

“Kita yakin, keistimewaan warisan kulinari Perak berpotensi memartabatkan lagi warisan dan budaya makanan tradisional negeri Perak,” katanya selepas merasmikan Promosi Makanan Tradisi Perak di Hotel Casuarina@Meru, semalam.