BATU GAJAH: Pembukaan Silverlakes Village Outlet (SVO) pada 15 Disember depan menjawab persoalan yang sekian lama ditunggu-tunggu bilakah tarikh bermulanya operasi.

Pengarah Urusan Silverland, Shaik Rizal Sulaiman berkata,  pembukaan SVO akan dibuka secara berperingkat sehinggalah sepenuhnya  pada pertengahan tahun hadapan.

“SVO, terbahagi kepada dua bahagian iaitu West Village dan North Village. Pelancaran West Village telah dilakukan pada September lalu dengan beberapa pengisian acara antaranya Asean Food Fest dan Culture Food Fest.

“North Village, merupakan bahagian utama yang akan dibuka secara berperingkat bermula dengan 10 hingga 20 buah kedai terlebih dahulu sebelum dibuka sepenuhnya,”.  Setakat ini sebanyak 60 peratus peniaga telah bersetuju akan memulakan perniagaan di sini.

“Sekurang-kurangnya 100 jenama terkenal akan menapak di sini. Antara jenama yang bakal memula operasi antaranya Al-Ikhsan, Coach, Kate Spade, Sembonia, Carlo Rino, Puma dan ada juga jenama daripada pereka fesyen tempatan iaitu, Rizman Ruzaini,“ katanya dalam sidang media sempena perasmian Taman Tema Dinosaur di Silverlakes Village Outlet di sini hari ini.

Beliau menambah, SVO bukan sahaja membawa jenama-jenama antarabangsa ke Batu Gajah namun makanan-makanan berkonsepkan segera seperti McDonald’s juga akan menapak di kawasan tersebut.

Menurutnya lagi, pihaknya sedang dalam proses untuk memuktamadkan beberapa francais restoran yang akan beroperasi di situ.

Mengulas tentang Taman Tema Dinosaur pula Shaik berkata, ia merupakan antara tarikan utama di Silverlakes Village Outlet selain memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024.

“Sebagai persiapan awal untuk Tahun Melawat Perak, taman tema ini dipercayai bakal menjadi tarikan istimewa yang bukan sahaja mengaplikasikan pendekatan moden bagi menarik pengunjung malah menyumbang kepada kemajuan ekonomi pelancongan negeri Perak.

“Bagi projek Dinosaur Encounter di SVO, rekod pelaburannya adalah sebanyak RM 15 juta dan  merupakan taman didik-hibur dinosaur pertama di Perak.

“Dinosaur Encounter ini berkonsepkan sains pra-sejarah, yang dihidupkan dengan teknologi terkini iaitu Realiti Terimbuh (Augmented Reality) dan Realiti Maya (Virtual Reality),” ujarnya. - PERAKTASTIC-