IPOH - Seramai 75,000 pengunjung direkodkan datang ke Tasik Cermin Ipoh sepanjang Disember lalu sekali gus menjadi jumlah kunjungan paling ramai.

Manakala secara purata, jumlah pengunjung yang datang ke kawasan tarikan pelancong ini ialah sekitar 45,000 sebulan.

Berdasarkan angka tersebut jelas Tasik Cermin Ipoh kini merupakan lokasi pilihan pengunjung yang menggemari keindahan alam semulajadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak Holdings Berhad (MHB), Syed Agil Syed Hashim berkata, sinergi biodiversiti dan landskap batu kapur menawarkan pengalaman unik selain suasana yang tenteram.

Katanya, pusat ekopelancongan Tasik Cermin yang dibangunkan bersama rakan usahasama Sabah Tea Garden (STG) akan sentiasa memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.

“Perkembangan ini menguatkan lagi komitmen kami untuk sentiasa menambahbaik pembangunan di kawasan ini dengan memastikan kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung pelbagai lapisan umur.

“Tasik Cermin 2 menawarkan pengalaman menerokai sebuah tasik tersembunyi yang hanya boleh diakses dengan menaiki bot melalui terowong sejauh lebih kurang 130 meter.

“Bot kuasa bateri sepenuhnya adalah berkonsepkan rendah karbon digunakan untuk memelihara persekitaran yang selari dengan matlamat kerajaan Perak dalam meneguhkan agenda kelestarian alam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Tasik Cermin 2 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Sementara itu, Khairul Firdaus dalam ucapannya berkata, Perak mempunyai pelbagai destinasi dan produk yang hebat selain diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, Tahun Melawat Perak 2024 mampu menjadikan negeri ini destinasi unggul dalam kalangan pelancong tempatan dan luar. - PERAKTASTIC-