Taiping- Exco Pelancongan, Loh Sze Yee memohon pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah perhentian di stesen keretapi di Batu Gajah bagi menarik lebih ramai kunjungan pelancongan ke daerah itu.

Menurutnya, daerah Batu Gajah kini mempunyai beberapa produk pelancongan baharu yang menarik dan berpotensi.

“Silverlakes Village Outlet dan Galeri Rumah Lat merupakan produk pelancongan baharu yang terletak bersebelahan Stesen KTMB Batu Gajah.

“Sekarang hanya terdapat tiga perhentian KTM-Komuter Utara iaitu Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar. Sekiranya pihak KTMB menambah perhentian di Stesen Batu Gajah, ia akan memudahkan orang ramai khususnya pelancong-pelancong.

“Saya juga mencadangkan perkhidmatan KTM-Komuter juga diwujudkan dari Ipoh ke Tanjung Malim. Cadangan ini pastinya mendapat sambutan orang ramai terutamanya mereka yang suka melancong menggunakan perkhidmatan keretapi,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Pakej Rail Tourism, di Laman Budaya Taiping, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata pelancaran Pakej Rail Tourism merupakan kerjasama pintar dengan Tourism Perak dalam memeriahkan lagi Tahun Melawat Perak 2024.

“Pakej Rail Tourism, membuka peluang kepada pengunjung-pengunjung menerokai produk-produk pelancongan di negeri Perak dengan menggunakan perkhidmatan keretapi.

“Sejak dari dulu lagi pengangkutan rel sangat sinonim dengan negeri Perak serta telah memainkan peranan penting kepada pertumbuhan ekonomi Perak.

“Malah jika kita imbas kembali sejarah, pengangkutan rel telah bermula sejak tahun 1885 lagi dengan pembukaan aliran keretapi yang pertama di antara Taiping dengan Port Weld (nama sekarang Kuala Sepetang),” katanya.

Sempena kerjasama itu,  pihak KTMB menawarkan diskaun sebanyak 15% bagi perkhidmatan tren ETS kepada orang ramai yang membeli Pakej Perak Rail Tourism melalui enam agensi yang berdaftar dengan Tourism Perak.

Agensi pelancongan tersebut adalah Asia City Trip; Unforgettable Tour Sdn Bhd;  Rayhan Haramain Tour Sdn Bhd; Ipoh Overland Tours and Travel; Karya Merdeka Travel & Tour Sdn Bhd dan Golden Century Tour & Travel Sdn Bhd. _PERAKTASTIC-