IPOH – Pelajar Kolej Tingkatan Enam Seri Ipoh (KTESI) kini mula mengenali semula kewujudan buah-buahan nadir tradisi negara melalui pameran karya seni  terhadap warisan budaya dan botani yang hampir dilupakan generasi masa kini.

Pengarah KTESI, Razak Malek Taharim berkata, pemilihan buah nadir sebagai subjek utama tugasan bukan sekadar melatih kreativiti pelajar, malah berupaya membuka mata generasi muda terhadap buah-buahan tradisi yang pernah menjadi makanan harian masyarakat dahulu seperti buah tampoi, dabai, kundang, bidara dan sengkuang tanah yang kini semakin jarang diketahui.

Beliau memberi contoh pengalaman peribadi ketika kampung halamannya di Lenggong pernah menjadi lokasi rakaman TV3 untuk makanan tradisional dikenali sebagai kebebel.

“Kebebel adalah hidangan tradisi berusia lebih 100 tahun yang diperbuat daripada campuran buah cermai, buah ara, cedong, cili, belacan dan garam. Ia menonjolkan rasa masam unik buah-buah nadir yang sebenarnya baik untuk kesihatan.

“Dengan projek ini, kita berjaya melaksanakan tugasan yang dirancang untuk pelajar dan hasilnya amat membanggakan apabila sebanyak 45 karya dilahirkan sepanjang tiga semester,” katanya kepada Peraktastic sempena Pameran Rhapsody Of Malaysia's Rare Fruits di KTESI, baru- baru ini.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan generasi Gen Z kini sudah mula dapat membezakan buah-buahan nadir seperti buah beruas dengan manggis, yang sebelum ini langsung tidak pernah mereka ketahui atau alami rasanya.

Dalam pameran tersebut, Siti Nur ‘Aqilah Muhammad Zairi muncul sebagai pemenang karya pilihan pengarah dengan catan buah beruas dan kundang.

Beliau berkata, karya yang dihasilkan menggunakan konsep Pop Art itu menggabungkan elemen moden bersama simbol tradisional termasuk corak batik dan bunga raya, sekali gus menarik perhatian pengarah KTESI.

Manakala Amarpreet Kaur A/P Inderjit Singh, 19, melalui Projek Kajian Seni Visual, memilih buah tampoi dan kedondong sebagai subjek utama karya seninya.

Beliau menjelaskan elemen keharmonian alam dan budaya digabungkan bersama imej Gunung Kinabalu, bunga raya dan wau bulan, selain menggunakan cat emulsion dengan teknik pointilisme dan glazing bagi memaparkan kreativiti dan simbolisme yang kuat.

“Saya berharap karya ini dapat meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap buah-buahan nadir serta membantu memulihara warisan tempatan,” katanya.

Seorang lagi pelajar calon STPM Seni Visual, Koo Chee Seong, 19, menghasilkan karya bertemakan buah pala dan kedondong sebagai usaha menyedarkan masyarakat tentang nilai perubatan serta warisan budaya buah-buahan nadir.

Beliau menampilkan karyanya bercorakkan batik berlatar rumah papan Melayu dan hutan, menggunakan media akrilik serta gaya separa abstrak aliran pasca impressionisme .

Teknik impasto turut digunakan untuk menghasilkan tekstur timbul pada permukaan lukisan bagi memberi dimensi dan kesan visual yang menarik.

“Saya berharap karya ini bukan sahaja menjadi bahan pendidikan tetapi turut membantu meningkatkan kesedaran masyarakat untuk memelihara warisan tempatan yang semakin terhakis,” katanya.

Antara guru seni visual yang terlibat ialah Hashim Arshad dan Nurul Sarah Hijazi, manakala kurator pameran ialah Koo Chee Seong. - PERAKTASTIC-