Penyanyi rap tri-bahasa, Malik Choo, kembali mencuri perhatian dengan single terbaru Move On, lagu berunsur rap pop dan R&B yang sarat mesej motivasi untuk bangkit dan melangkah ke hadapan.
Terbitan SVLTAN Management bersama Sony Music Entertainment Malaysia, lagu ini dicipta oleh Mas Dewangga, Jova Devito, Kidd Santhe, dengan lirik daripada Altimet (Mambang). Malik menjelaskan bahawa lagu ini lahir daripada pengalaman peribadi melepaskan perkara yang membebankan, namun menyentuh emosi pendengar yang menghadapi perubahan hidup.

Perjalanan seni Malik bermula sejak 2009 sebagai DJ Kino, sebelum melangkah ke arena kolaborasi hit seperti Kita Jaga Kita (Altimet), Lelaki Di Telefon (Afieq Shazwan) dan Ralit (Tuju), yang berjaya mengumpul jutaan tontonan di YouTube.
Video muzik Move On arahan Evan Lim, menampilkan koreografi profesional oleh Meor Mukhris, diinspirasikan gaya K-pop yang bertenaga dan kemas, menunjukkan sisi visual Malik lebih matang.

Single ini juga sebahagian daripada projek DKK Industri Muzik 2.0, disokong MyCreative Ventures dan KKMM, usaha memperkasakan industri kreatif tempatan.
Bermula 5 Disember 2025, Move On boleh didengar di semua platform digital, manakala video muzik rasmi ditayangkan 10 Disember 2025 di YouTube VEVO @MalikChoo.
