TAIPING - Seramai 200 orang awam kembali beriadah di Taman Botani Perak (TBP) semalam, setelah dibuka semula pada 4 Ogos lalu.

Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata sebelum ini TBP ditutup lebih empat bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan virus Covid-19.

“Kita berharap pengunjung dapat mengamalkan pembudayaan norma baharu melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Waktu operasi taman setiap hari adalah bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 7.00 petang namun kemasukan terakhir pengunjung adalah pada jam 6.30 petang.

“Pengunjung juga tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan taman ketika hujan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Bilangan pengunjung pada satu masa ialah seramai 500 orang maksimum bagi memudahkan kawalan penjarakan fizikal dilaksanakan.

“Pihak pengurusan juga tidak menggalakkan individu yang bergejala, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun untuk berkunjung ke taman,” katanya selepas Majlis Pembukaan Semula Taman Botani Perak baru- baru ini.

Menurutnya, bagi memastikan pengunjung sentiasa berasa selamat dan yakin selain dari ujian saringan suhu badan, kerja-kerja disinfeksi atau nyahkuman pada permukaan yang kerap disentuh akan dilakukan setiap hari oleh kakitangan TBP.

 Selain itu, cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) turut disediakan di kaunter masuk bagi kegunaan pengunjung. Kemasukan pengunjung ke Taman Botani Perak masih tidak dikenakan sebarang bayaran.