Felda Lasah, Sungai Siput - Pasti antara kita belum pernah melihat dan menikmati lemang berukuran lilit sebesar sebatang rokok.

Berkat kesabaran dan kesungguhan seorang peneroka Felda Lasah, Mohd Nasir Shamsudin,71, berjaya menjadikan lemang berukuran kecil sebagai sumber pendapatannya.

“Idea menghasilkan lemang ini secara tidak sengaja disebabkan ketiadaan buluh bersaiz biasa. Pada masa itu saya terfikir lebih baik saya mencuba buluh kecil bersaiz sebatang rokok sehinggalah sebesar duit syiling dua puluh sen 

“Pada mulanya sukar untuk memasukkan daun pisang ke dalam buluh yang kecil sepanjang dua kaki lebih. Tetapi kesukaran itu dapat diatasi dengan mudah berkat kesabaran dan kini ianya yang hanya beberapa minit sahaja untuk menyiapkan sebatang lemang”, katanya sewaktu ditemubual di rumahnya di Kampung Pulau Ador berhampiran Felda Lasah baru-baru ini.

Menurut Mohd Nasir, citarasa lemang bersaiz kecil ini lebih lazat dari lemang berukuran biasa. Rasanya lebih lemak, lembut dan aromanya lebih harum. Pastinya setiap orang berkeinginan merasainya bersama pelbagai jenis rendang mahupun dicicah dengan gula.

Harga bagi sebatang lemang kecil ini ialah antara RM2.00 hingga ke RM10.00 bergantung kepada saiz lemang. Beliau mampu menghasilkan sebanyak 400 batang lemang kecil untuk memenuhi permintaan bila tiba musim perayaan.

“Menggunakan buluh lemang bersaiz kecil ini ia mampu menghasilkan 50 hingga 70 batang lemang bagi segantang beras. Berbanding dengan saiz buluh lemang biasa hanya antara 10 batang sahaja.

“Tempahan boleh dibuat dua hari sebelum majlis kerana saya perlu menyediakan buluh-buluh mengikut saiz yang diminta”, katanya.

Membakar lemang kecil ini hanya mengambil masa antara sejam hingga dua jam sahaja menggunakan dapur gas. Walau pun cara untuk memasukkan daun pisang, santan dan pulut ke dalam buluh agak rumit tetapi ia sudah biasa bagi pasangan suami isteri ini.

“Sehingga kini ramai yang telah menempah untuk mendapatkan lemang kecil ini termasuk dari Kuala Lumpur selain dari kawasan berhampiran. 

“Disebabkan sambutan yang menggalakkan dan luar biasa saya cuba untuk memenuhi permintaan peminat-peminat lemang selagi khudrat saya diizinkan Allah”, katanya dengan gelak tawa.

Kepada sesiapa yang ingin menempah lemang kecil ini bolehlah menghubungi Mohd Nasir di No. 5 Kampung Pulau Adur, Jalan Felda Lasah, Sungai Siput (U) Perak.  Telefon bimbit, 019 5744 678.

-PERAKTASTIC- Abdul Razak Din