IPOH- Kerajaan Negeri Perak hari ini melancarkan Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang akan memberi manfaat kepada hampir 200,000 pelajar di seluruh negeri Perak terutamanya yang datang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Besar, Dato Saarani Mohamad  berkata sasaran utama program ini adalah untuk membantu murid dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama termasuk 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki ujian pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan ke tahun ini ekoran pandemik COVID-19.

“Turut mendapat manfaat secara langsung daripada program TCS ialah 37,894 pelajar yang menduduki peperiksaan utama pada 2021, pelajar Tingkatan Empat (30,320), pelajar Tingkatan Satu (31,761) dan murid Tahun satu (31,742).

“Melalui program ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan menyediakan guru dan tenaga pengajar yang memberikan tuisyen atau kelas tambahan bagi subjek-subjek kritikal iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah”, katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Program ‘Tuisyen Cikgu Saarani’ & Penyerahan Mock Cheque Sumbangan Bantuan Khas Makanan di pejabatnya secara maya, disini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia,  Ahmad Saidi Mohamad Daud; Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Dr. Mohd Suhaimi Mohamad Ali; Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Rahimah Mohamad dan DiPertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Perak, Suhaimi Harun.

Program ini bakal merangkumi inisiatif dan bantuan khusus seperti tuisyen dan kelas tambahan, Bantuan khas makanan, program latih tubi menjelang peperiksaan, seminar menjawab soalan peperiksaan dan penyediaan bahan pengajaran berasaskan video interaktif.

Buat permulaan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan.

Menurut Saarani, calon SPM serta guru-guru akan diberikan makanan tengahari secara harian selama 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula pada 22 Februari ini.

“Selain menggunakan dana kerajaan, peruntukan tersebut turut meliputi sumbangan kewangan daripada syarikat milik kerajaan negeri (GLC) iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP)’, ujarnya.

End//