IPOH- Sebanyak 1672 lokasi sampah haram disekitar bandaraya Ipoh dikenalpasti antara faktor melibatkan sisa buangan pepejal semakin meningkat dan membimbangkan.

Ketua Penolong Pengarah Kesihatan Bandaraya, Manisegaran Subramaniam berkata sekiranya orang ramai gagal berkerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), isu pembuangan sampah akan berlarutan dan tiada kesudahannya,

“Selain pihak MBI yang mengendalikan pengurusan sampah ini, masyarakatlah yang paling utama untuk memainkan peranan dan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

“Statistik menunjukkan dalam tempoh tiga tahun, dianggarkan 550 tan sampah dipungut setiap hari. Sebulan MBI telah mengutip sebanyak 6,500 tan sampah dan pada tahun 2020, keseluruhan 203,000 tan sampah telah dilupuskan.

“Melihat dari jumlah sampah yang besar itu, sudah pastinya melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi yang sebaiknya digunakan untuk pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur bandaraya”, katanya melalui program MBI dan Anda yang disiarkan secara langsung di laman Facebook MBI, di sini, hari ini.

Program MBI dan Anda diadakan setiap hari khamis minggu pertama setiap bulan yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook MBI. Ianya diterajui oleh Pengarah Kanan (Pentadbiran dan Operasi), Musa Dun sebagai moderator.

Program pertama ini mengenengahkan isu Pengurusan Sampah di kawasan pentadbiran MBI. Turut dijemput Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan (Kerja dan Bangunan), Arif Mohd Zainuddin.

Program ini memudahkan pencapaian dua hala dengan orang ramai bagi meningkatkan mutu perkhimatan MBI.

Terdapat dua kategori sisa pepejal yang diselenggarakan oleh MBI iaitu kategori domestik yang melibatkan  pengutipan dari rumah ke rumah dan bukan domestik pula melibatkan sisa pepejal yang dihasilkan oleh kegiatan industri dan premis perniagaan.

Menurut Manisegaran, pembuangan sisa pepejal domestik antara yang teringgi dan banyak melibatkan pembuangan secara haram.

“Pembuangan secara haram ini sangat berleluasa kerana ianya melibatkan kawasan persekitaran kediaman dan kawasan-kawasan lapang.

“Seramai 554 orang kakitangan MBI yang melibatkan pengawai dan pekerja turun padang setiap hari bagi memastikan pengutipan sampah berjalan dengan lancar. Seramai 23 orang dikerahkan ke kawasan-kawasan perumahan bagi kutipan sampah domestik ini.

“Kesedaran kepentingan melestarikan alam sekitar dikalangan masyarakat adalah penting. Hapuskan sikap penting diri sendiri, pupuklah sikap murni yang cintakan kebersihan sebagai contoh kepada generasi muda.

“Pembuangan sampah haram bukan sahaja mencacatkan imej bandaraya malah menimbulkan ketidakselesaan serta masalah kesihatan seperti peningkatan kes demam denggi”, katanya.