IPOH – ‘Letak gambar hantu pocong kat area orang yang gemar buang sampah haram,” antara komen lucu yang muncul pada program siaran langsung di laman sosial Facebook Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pagi tadi.

Topik Pengurusan Sampah dipilih bagi program MBI dan Anda edisi pertama itu memandangkan isu tersebut adalah yang paling hangat dalam kalangan warga bandaraya ini.

Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan (Kerja dan Bangunan) MBI, Arif Mohd Zainudin berkata, bagi mengurangkan isu longgokan dan pembuangan sampah haram dari terus berleluasa di sekitar bandaraya ini, Jabatan Kejuruteraan MBI sentiasa melihat bandaraya dan negara maju yang menggunakan kaedah tertentu melalui teknologi dan inovasi bagi menyelesaikan sesuatu masalah dengan lebih berkesan.

Menurut  Arif, Jabatan Kejuruteraan MBI sentiasa Justeru, beliau berkata, MBI mencipta kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih yang menggunakan kuasa solar atau dikenali sebagai Porsora bagi mengesan pelaku pembuangan sampah haram di kawasan yang telah dikenal pasti.

“Eksperimen dan modal yang kecil, kami berjaya menghasilkan CCTV ini sejak 2019. CCTV ini boleh bergerak secara mobil dan dikendalikan oleh Unit Anti Litter (16 orang) dengan dua CCTV  tambahan.

“Penggunaan CCTV ini telah membantu menyelesaikan isu longgokan sampah haram sisa binaan yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan Meru berhampiran Taman Tema MAPS.

“Bagi pembuangan sisa bangunan, Jabatan Pembangunan ada menyediakan permit bagi tujuan pelupusan di tapak pelupusan sampah di Papan, namun ada segelintir pihak yang degil dan cari jalan pintas untuk kurangkan kos perkhidmatan dan merosakkan kehidupan orang lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Arif berkata, pemasangan CCTV di kawasan tertentu seperti di Pasar Target telah berjaya mengesan mereka yang membuang sampah serta kenderaan yang digunakan dan pelaku  tersebut telah dikompaun akibat kesalahan berkenaan.

Katanya, MBI menyediakan Pusat Sanitari Sisa Pepejal Tahap Empat satu-satunya pusat sanitari tahap empat di Perak yang mendapat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan diuruskan secara professional oleh syarikat konsesi serta menjadi rujukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

“Keluasan tapak pelupusan sampah ini adalah 200 ekar dan setakat ini sebanyak 50 ekar telah digunapakai sejak 2011.

“Kita masih mampu untuk menanggung beban sampah untuk 21 tahun akan datang namun kita perlu satu perancangan agar sampah yang masuk adalah sampah domestik semata-semata yang tidak perlu dikitar semula supaya penggunaan tapak sanitari sisa pepejal ini akan dapat dilanjutkan,” jelasnya.

Arif berkata, lebih RM3 juta diperuntukkan bagi menyelesai isu sampah di bandaraya ini dengan penambahan aset 23 unit lori terbuka dan dua jentolak yang diberikan secara berperingkat mulai Mac sehingga Mei ini.

“Sebelum ini, MBI mempunya 26 unit lori terbuka dan dua jentolak sahaja. Melalui penambahan aset ini, MBI dapati menyelesaikan isu longgokan sampah haram tertunggak serta dapat menambahbaik pengurusan sampah di sekitar Ipoh.

“Selain itu, dapat membantu menyelesaikan isu sampah pukal dan sampah kebun secara sistematik,” katanya.

Sepanjang sesi siaran langsung, warga Ipoh tidak melepaskan peluang untuk berinteraksi melalui ruangan komen di Facebook sama ada menyampaikan aduan atau memberi cadangan bernas bagi membantu MBI untuk menangani masalah tersebut.

Sesi perbincangan ini dikendalikan Pengarah Kanan Pentadbiran Operasi MBI, Musa Dun sebagai moderator dan seorang lagi tetamu jemputan Ketua Penolong Pengarah Kesihatan Bandaraya, S Manisegaran .

End