IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Junior Chamber International (JCI) Ipoh berganding bahu menganjurkan Seminar Hari Wanita Sedunia 2021 bagi meraikan dan memberi pengiktirafan kepada wanita yang banyak menyumbang kepada negara khususnya di negeri Perak.

Seminar yang bertemakan “Kepimpinan Wanita: Mencapai Masa Depan Setara dalam Dunia Covid-19”, sejajar dengan tema Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada agensi kerajaan dan swasta dengan kehadiran kira-kira 250 peserta daripada pelbagai latarbelakang.

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, wanita adalah antara penyumbang yang banyak membantu sama ada secara langsung atau tidak dalam melonjakkan ekonomi negara.

Selain itu, beliau berkata, wanita turut memainkan peranan penting dalam bidang lain seperti sektor pekerjaan, keusahawanan, komuniti serta menjadi penggerak dalam kerja-kerja melibatkan kesukarelawan.

Menurutnya, negara yang diketuai oleh pemimpin wanita seperti New Zealand, Taiwan dan Jerman sering menunjukkan prestasi yang amat baik malah pemimpin wanita di Malaysia juga tidak kurang hebatnya dalam memperkenalkan negara di mata dunia.

“Jika dikaji, kebanyakkan keluarga di bawah B40 yang menerima bantuan mikrokredit sewaktu menghadapi pandemik Covid-19 ini terdiri daripada golongan wanita terutamanya ibu tunggal.

“Mereka (ibu tunggal) menjadi tunggak kepada keluarga dengan keluar mencari rezeki dan perkara ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia berlaku sejak dari dahulu.

“Bantuan mikrokredit kebanyakkannya diberikan kepada wanita kerana mereka sangat bertanggungjawab terutamanya dalam membayar balik pinjaman tersebut mengikut tempoh yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan majlis tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) di sini, hari ini. Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Presiden JCI, Carsen Chong.

Sementara itu, Penasihat Projek JCI, Dr Carrine Teoh Chooi Shi berkata, seminar tersebut diharap dapat dijadikan platform dalam mewujudkan rangkaian antara satu wanita dengan wanita lain yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, serta membantu menjalinkan hubungan kerjasama terutamanya dalam bidang perniagaan, komuniti dan sosial.

“Kami amat berbesar hati kerana berjaya mengumpulkan wanita-wanita yang ‘kuat’ daripada pelbagai bidang serta mendapat sokongan daripada golongan lelaki yang bersama-sama hadir meraikan majlis pada hari ini,” katanya.