TAIPING – Kerjasama pinta Tourism Malaysia bersama Zoo Taiping dalam mempromosikan kepelbagaian produk perlancongan dikatakan mampu menarik lebih ramai pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakejnya, Syed Yahya Syed Othman berkata, pakej pelancongan menjadi pilihan popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara untuk menerokai produk pelancongan yang sedia ada.

“Pakej pelancongan menjadi pilihan popular dan menarik kerana memudahkan orang ramai untuk membeli produk yang disediakan di satu-satu destinasi.

“Pakej ini sangat signifikan kerana ia murah dan berbaloi untuk melawat tiga hingga empat tempat. Pakej disediakan merupakan usaha kita untuk menarik sekurang-kurangnya 30 juta pelancong luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pakej Pendidikan Zoo Taiping dan Night Safari pada 11 Januari 2020 lalu.

Syed Yahya berkata, pakej Pendidikan Zoo Taiping dan Night Safari ini merupakan salah satu inisiatif Tourism Malaysia untuk meningkatkan pelancongan domestik sekaligus mempertingkatkan pertumbuhan industri pelancongan tempatan.

“Apa yang lihat, Taiping mempunyai 33 produk yang perlu diterokai dan zoo ini adalah salah satu produk pelancongan wajib yang dapat menarik pengunjung terutama Eropah dan negara asian lain termasuk Singapura dan Thailand,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zoo Taiping dan Night Safari, Dr Kevin Lazarus berkata, pihaknya menyediakan tujuh pakej terbuka kepada kanak-kanak hingga orang dewasa untuk menerokai flora dan fauna di kawasan seluas 34 hektar yang merupakan habitat kepada 1,200 haiwan.

“Terdapat lima pakej pendidikan termasuk pakej khidmat masyarakat khas kepada pelajar berusia 14 tahun ke atas yang sukarela menyertai aktiviti pembersihan kawasan zoo dengan lebih mendekati haiwan ini lebih dekat.

“Pakej-pakej ini memudahkan para peminat dan pengunjung memilih aktiviti yang diminati dengan serendah RM25 seorang selain menghayati dan menghargai khazanah alam semulajadi,” katanya.