IPOH – Pasar Besar Ipoh masih bebas daripada wabak chikungunya di persekitaran premis tersebut, susulan gotong royong mega yang diadakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Mei tahun lalu.
Peniaga gerai sayur, Nuraini Mustaffa, 36, pada Mei tahun lalu, dia dimasukkan ke hospital selama seminggu akibat chikungunya dipercayai dijangkiti di pasar berkenaan.
“Perniagaan saya sedikit terjejas akibat insiden itu namun tindakan pantas MBI mengadakan gotong royong mega pada tahun lalu telah membantu mengatasi masalah wabak tersebut,” katanya ketika ditemui pagi ini.
Nuraini berkata, bagaimanapun, masalah tikus berkeliaran di sekeliling premis masih ada tetapi semakin berkurangan selepas kerja-kerja pembersihan itu dijalankan.
Pada 18 dan 19 Mei tahun lalu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Awam Kinta (Unit Penyakit Berjangkit) Kementerian Kesihatan Malaysia mengadakan gotong royong mega bagi memerangi wabak denggi dan chikungunya di kawasan persekitaran Pasar Besar Ipoh.
Kerja-kerja pembersihan yang dijalankan di pasar berkenaan telah memberi keyakinan kepada penduduk di bandaraya Ipoh terhadap tahap kebersihan selain memastikan keselamatan pengunjung dan peniaga di pasar tersebut berada di tahap terbaik.