IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperkenalkan bayaran tanpa tunai di hampir semua Bazar Ramadan bawah seliaannya tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kaedah urus niaga tanpa penggunaan wang tunai itu dilaksanakan dengan kerjasama Maybank Berhad.
Menurut Rumaizi, aktiviti Bazar Ramadan tahun ini akan melibatkan sebanyak 1,065 lot niaga di 25 lokasi dengan amalan norma baharu mencegah penularan Covid-19.
"Pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan adalah dialu-alukan menggunakan aplikasi 'e-wallet' sejajar dengan hasrat MBI ke arah bandar raya 'smart city'.
"Perkara ini kita akan perincikan menerusi pelaksanaan dengan pihak Maybank," ujarnya.
Jelas Rumaizi, bagi memastikan penjarakan fizikal maka petak niaga akan dijarak sejauh tiga meter antara satu sama lain, mewajibkan peniaga memakai pelitup muka.
Kata, aturan lain termasuk menyediakan pengimbas suhu badan, sanitasi tangan dan petugas pada laluan masuk bazar.
"Peniaga pula mestilah seorang yang sihat, tidak bergejala, telah mendapatkan suntikan anti-typhoid, telah menghadiri kursus pengendalian makanan dan berpengalaman menjalankan perniagaan makanan.
"Selain itu kita juga memastikan penganjur bazar Ramadan diuruskan oleh penganjur yang berpengalaman.
"Walau bagaimanapun, aktiviti pemantauan dan kawalan terhadap operasi bazar Ramadan masih dijalankan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran serta Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasa MBI," katanya.