IPOH – Pandemik Covid-19 yang melanda dunia menyaksikan impak besar secara langsung kepada semua industri di negara ini termasuklah industri hiburan.

Seniman Datuk M Nasir berkata, ramai orang sedang mencari jalan keluar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi akibat terkesan dalam era pandemik tersebut.

Menurutnya, industri hiburan juga turut terjejas disebabkan pandemik Covid-19 dan kebanyakkan persembahan tidak dapat diadakan secara berhadapan dengan penonton seperti sebelum ini.

“Apa yang telah berlaku, tetap berlaku dan memang banyak yang terkesan (akibat Covid-19). Tetapi, kita kena selaraskan diri untuk fokus dan cari jalan mana yang boleh untuk mengatasi masalah tersebut.

“Jadi kita kena beralih kepada dunia internet, siber dengan menggunakan gajet seperti telefon pintar iPhone bagi merancakkan semula industri ini,” katanya kepada Peraktastic di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai visi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam menjadikan Ipoh sebagai Kota Seni, beliau berkata, dari sudut infrastruktur, perkara tersebut boleh direalisasikan jika terdapat pencipta kandungan atau pereka kreatif dengan kepimpinan yang baik.

“Selain itu, kita memerlukan orang-orang kreatif dan mahir dalam bidang pemasaran serta memikirkan cara terbaik untuk menyebarkannya supaya lebih ramai orang datang ke sini.

“Kita mesti mencipta sesuatu kandungan itu secara universal kepada semua bangsa, baru ‘volume’ itu ada,” jelasnya.

Beliau berkata, tidak mustahil pada masa hadapan syarikat Luncai Emas Sdn Bhd (Luncai Emas) akan menjalinkan hubungan kerjasama dengan MBI dalam pembangunan Kota Seni.

“InshaALLAH, jika ada kemahuan yang kuat (untuk pembangunan Kota Seni), mungkin ada (kerjasama antara Luncai Emas dan MBI),” ujar Pengasas Luncai Emas itu.

Berhubung Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik yang diadakan bermula semalam dan hari ini di Dewan Bandaran Ipoh, M Nasir berkata, tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memberi ilham kepada mereka yang ingin memasuki dunia kreatif dengan lebih aktif dan bermotivasi.

“Fokus bengkel ini adalah untuk memberi idea kepada peserta cara pembikinan video muzik dengan menggunakan sumber teknologi yang baru dan terkini.

“Sekarang guna iPhone pun kita boleh buat video muzik kerana terdapat pelbagai aplikasi terbaru dan mudah untuk digunakan.

“Penghasilan video muzik menggunakan iPhone mungkin ada limitasi tetapi ia tetap mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya yang memaklumkan pernah mengadakan bengkel sama di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, melalui bengkel ini juga peserta didedahkan mengenai kepentingan hakcipta supaya hasil karya mereka tidak diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab selepas disiarkan melalui pelbagai platform antaranya seperti di media sosial.