IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperluaskan pemasangan panel solar di ruang lantai terbiar di bangunan sekitar bandar raya ini bagi tujuan penjimatan penggunaan tenaga elektrik.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, MBI dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memulakan kerja-kerja pemasangan panel solar di bumbung Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak bagi tujuan tersebut.

Katanya, pemasangan panel solar ini sejajar dengan visi MBI untuk menjadikan Ipoh Bandar Rendah Karbon 2030 .

“Jadi, kita mulakan (pemasangan panel solar) di ruang lantai bumbung bangunan UTC Perak yang keluasannya lebih kurang 20,000 meter persegi hampir 5 ekar.

“Sebenarnya di Ipoh ada banyak lagi (bangunan), bermula pada tahun ini atau fasa dua kita akan menggerakkan panel solar di ruang lantai terbiar di bumbung bangunan.

“Penggunaan solar dapat mengurangkan penggunaan elektrik dan menjimatkan. Contoh Di Manjung kebanyakkan tenaga dijana menggunakan arang batu dan memberi kesan banyak kepada karbon monoksida bukan karbon dioksida.

“Tapi bila kita menggunakan solar, kita kurangkan penggunaan arang batu dan udara kita akan menjadi bersih yang membantu dalam mengurangkan pelepasan karbon melalui tenaga baru ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI bagi bulan Mac 2021 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, pemasangan panel solar ini akan diperluaskan di bangunan lain seperti di Stadium Perak, Stadium Indera Mulia dan Velodrom Rakyat.

Menyentuh berhubung isu pembaziran makanan dan minuman yang berlaku di bazar Ramadan, Rumaizi berkata, pihaknya akan cuba merealisasikan cadangan untuk kitar semula makanan dan berharap perkara tersebut dapat dilaksanakan.