IPOH – Senyuman terpancar pada wajah-wajah kusam gelandangan yang sebelumnya berbaring pada kaki lima premis di Jalan Dato Onn di sini sebaik dihampiri sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Masyarakat Prihatin Perak (Ukhuwah) yang menghulurkan makanan dan minuman kepada mereka.

Seramai 20 sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini bersama Tim Super Chapter Perak menyantuni geladangan di sekitar bandaraya Ipoh baru-baru ini atas rasa prihatin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Pengerusi Ukhuwah, Norhaslinda Zakaria berkata, sumbangan itu digerakkan untuk mendekati golongan berkenaan yang kurang mendapat perhatian dan pada masa sama menyampaikan maklumat kepada mereka tentang pencegahan wabak Covid-19.

Menurut beliau, seramai 50 orang gelandangan menerima pek mengandungi pelitup muka, selipar, tuala mandi, biskut , air kotak dan air mineral selain sumbangan pakaian terpakai.

“Tumpuan program ini adalah di lokasi-lokasi sering kelihatan gelandangan di sekitar bandar Ipoh seperti di belakang pasar raya The Store sebelum ke kawasan berdekatan.

“Sumbangan kecil ini bagi mengelak golongan ini kelaparan dan pada masa sama kita mahu mereka menjaga kebersihan diri untuk sama-sama mengekang penularan Covid-19,” ujarnya.

Beliau yang juga Exco Srikandi Bersatu Kebangsaan berkata, misi prihatin tersebut akan disusuli selepas ini untuk menyumbangkan selimut, tilam dan bantal kepada golongan berkenaan.

Ini kerana katanya, ramai dalam kalangan gelandangan hanya tidur beralaskan kotak atau kertas suratkhabar sahaja selain terpaksa menahan sejuk.

“Beberapa orang gelandangan memohon agar boleh diberikan tilam, selimut dan bantal, jadi InshaALLAH Ukhuwah bersama Tim Super Chapter Perak akan berusaha untuk mendapatkan keperluan tersebut.

“Pada masa sama jika ada mana-mana badan korporat atau individu yang ingin menyumbang boleh disalurkan kepada pihak Ukhuwah menerusi akaun 08095010010700 atau menghubungi kita menerusi emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.,” katanya.