IPOH - Aplikasi MyAduan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah satu inovasi baharu yang dibangunkan untuk menaiktaraf sistem aduan melalui platform khas bagi memberi kemudahan kepada orang awam bagi mengemukakan aduan secara terus melalui telefon pintar mulai 30 April ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, aplikasi ini boleh diakses selama 24 jam bagi menjamin kemudahan dan keselesaan penduduk di bandaraya Ipoh. 
"Aplikasi ini dilaksanakan memandangkan MBI menerima pelbagai aduan di kawasan pentadbirannya. 
 
"Mengikut laporan, pada tahun lalu, MBI menerima aduan sebanyak 21,766 kes dah 84.97 peratus daripadanya telah berjaya diselesaikan. 
 
"Manakala bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, sejumlah 3,046 aduan kes diterima dengan 51.77 peratus telah pun diselesaikan oleh pihak MBI," katanya. 
 
Menurutnya, MBI turut menyediakan informasi dan cara penggunaan aplikasi secara lengkap bagi membantu penduduk Ipoh menggunakan aplikasi tersebut dengan lebih mudah. 
 
"Selain aplikasi tersebut, warga Ipoh juga boleh menyalurkan aduan melalui laman sesawang, media sosial Facebook, Instagram dan Twitter MBI," ujarnya. 
 
Beliau berkata, MBI juga akan memantau keberkesanan aplikasi tersebut dan melakukan penambahbaikan selepas mendapat respon daripada pengguna selepas dua minggu aplikasi ini beroperasi. 
 
"Pengguna juga boleh menyemak status aduan dari semasa ke semasa untuk mengetahui sama ada tindakan telah diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut," katanya. 
 
Terdahulu, Nolee hadir pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara MBI yang diwakili Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Urban Scale Studio Sdn Bhd dan Pavilion Agro Farm Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI, di sini hari ini.