IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam perancangan untuk membina sebuah pusat pelupusan buangan barangan elektrik dan elektronik (e-waste) di bandar ini sejajar dengan penerapan agenda ‘Perak Bumi Lestari’.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, perancangan tersebut sedang diperhalusi kerana turut melibatkan beberapa pihak berkepentingan lain dan sekiranya semua berjalan lancar ia dijangka boleh dimuktamadkan pada tahun ini.

Menurut beliau, bagaimanapun tapak itu nanti khusus bagi barang-barang e-waste sahaja dan tidak meliputi bahan-bahan berbahaya atau buangan berjadual.

“Pelaksanaan ini melibatkan pembesaran kawasan sedia ada iaitu tapak pelupusan sisa pepejal di Ulu Johan, Papan yang berkeluasan 200 ekar.

“Dengan adanya sebuah tapak khusus, kita mahu sistem pengumpulan dan pembuangan barangan elektrik dan elektronik di Ipoh dapat dijalankan lebih selamat, tersusun dan berkesan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Pengumpulan Sampah Domestik Kampung Pasir Putih di sini, hari ini.

Ini adalah pusat sampah pertama disiapkan bagi kegunaan domestik yang mempunyai tiga buah tong sampah berada dengan jumlah kesemuanya sebanyak 12 lokasi akan dibina.

Mengulas lanjut Rumaizi berkata, cadangan pembinaan pusat pengumpulan e-waste itu juga seiring dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang mahukan rakyat negeri ini menyemai kesedaran mengenai kesan pembuangan perkakasan elektrik secara tidak teratur selain kesedaran menjaga alam sekitar.

Selain itu katanya, MBI juga sedang menyiapkan model bagi pembinaan pusat pengumpulan sampah kebun dan pukal sekali gus dapat mengatasi masalah pembungan sampah haram.

“Cadangan itu juga sedang kita perhalusi sebagai sebahagian daripada matlamat MBI menjadikan Ipoh bandar bersih menjelang 2023,” ujarnya.