IPOH – Sempena Ramadan ini, Kedai Emas Safura mengambil inisiatif melancarkan Tabung Belanja Dapur Safura Ramadan Asnaf dan Ibu Tunggal bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang dikenal pasti di sekitar bandaraya Ipoh.

Pengasas dan pemiliknya, Bibi Safura Ghulam Hyder berkata, tabung tersebut mensasarkan 100 keluarga yang tergolong dalam kumpulan berkenaan.

Katanya, tabung ini diwujudkan melalui tiga sumber iaitu sumbangan peribadi pihak keluarga dan staf, sumbangannya sendiri dan sebahagian keuntungan jualan khas.

Menurutnya, pandemik Covid-19 memberi impak hebat dari segi mental, fizikal mahupun ekonomi terhadap semua golongan terutamanya keluarga asnaf dan ibu tunggal.

“Maka, atas rasa prihatin atas nasib golongan tersebut, kita mewujudkan bantuan kecil ini supaya dapat membantu dan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran tabung tersebut di Kedai Emas Safura Gunung Rapat, di sini, petang tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Bibi Safura berkata, kedai emas berkenaan akan mengadakan  jualan Nostalgia Ramadan Safura mulai 15 hingga 18 April ini di cawangan Gunung Rapat dan Meru serta secara langsung (live).

“Melalui jualan tersebut, kita menawarkan harga runtuh RM214 satu gram (segram) berbanding harga pasaran iaitu RM260 segram. Bagi kos upah pula, ‘kita kira sampai jadi’,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, tawaran ini terhad kepada 100 pelanggan awal setiap hari sepanjang tempoh promosi.

“Sebahagian keuntungan yang diperoleh akan disalurkan ke dalam tabung bantuan tersebut. Jadi, jika pelanggan berbelanja lebih banyak maka lebih banyak bantuan yang akan disumbangkan kepada tabung tersebut.

“Selain itu, kita turut menyediakan tabung di kedua-dua premis kepada pelanggan yang ingin bersedekah, selain membuat pembelian emas di kedai ini,” katanya yang akan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh promosi jika sambutan menggalakkan.