IPOH - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pemilik premis untuk menukar nama pemilik akaun (pengguna berdaftar) kepada nama penyewa premis melalui proses Change of Tenancy (COT) agar penyewa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bil elektrik.

Dengan melakukan pertukaran nama akaun, pemilik premis dapat mengelak daripada menanggung tunggakan bil elektrik yang ditinggalkan penyewa sekiranya berlaku.

TNB dalam satu kenyataan memberitahu, permohonan pertukaran nama perlu dilaksanakan oleh penyewa premis yang akan menandatangani kontrak baharu dengan TNB.

Menurut kenyataan tersebut, urusan pertukaran nama ini boleh dilakukan melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga yang berdekatan. Langkah-langkah dan dokumen sokongan yang diperlukan bagi tujuan permohonan pertukaran nama boleh diperolehi di Portal myTNB.

“Sekiranya penyewa telah berhenti menyewa premis, pemilik boleh menukar nama pemegang akaun kepada penyewa baharu atau kembali ke nama pemilik asal, sekiranya tidak menyewakan lagi premis tersebut.

“Bagaimanapun, apabila berlaku pertukaran nama pengguna berdaftar daripada pemilik premis kepada penyewa, sebarang permohonan pemotongan bekalan bagi tujuan menamatkan akaun dengan TNB hanya akan diterima daripada pengguna berdaftar sahaja,” ujar kenyataan tersebut.

Sebuah akhbar pada 8 April lalu melaporkan, seorang pemilik premis disaman berikutan rumah kedainya disewa dan dijadikan tempat kegiatan melombong bitcoin oleh penyewanya sebelum melarikan diri.

Pengadu telah membuat rundingan untuk melunaskan hutang melalui bayaran ansuran dengan bayaran pertama pada 7 April lalu.

Dalam pada itu, TNB turut menyediakan satu lagi perkhidmatan agar pemilik premis dapat memantau corak penggunaan dan pembayaran bil bulanan penyewa dengan lebih mudah iaitu menerusi Portal dan aplikasi myTNB.

Ini membolehkan pengguna memastikan pembayaran bil sentiasa dibuat oleh penyewa, selain mengambil langkah-langkah lain bagi mengelakkan dibebani masalah penyewa yang culas membayar.

Untuk pertanyaan berkenaan perkhidmatan TNB, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di 1300-88-5454, email ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau menerusi Facebook TNB CareLine.