IPOH – Sempena Ramadan ini, SLT Construction Sdn Bhd dan SLT Woodwork Sdn Bhd mengambil inisiatif menyumbangkan empat set rak rehal kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sini, semalam.

Sumbangan diserahkan Pengarah syarikat berkenaan, Mustafa Rahadi kepada Timbalan Pengarah Jaipk, Harith Fadzilah Abd Halim dan Pengurus Unit Pembangunan Ummah Maipk, Fairuz Zahri.

Mustafa berkata, sumbangan yang disampaikan adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan sempena menyantuni bulan yang mulia ini.

“Sumbangan rak rehal ini juga akan diserahkan kepada Menteri Besar dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada mereka yang memerlukan terutamanya pada bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Maipk, di sini.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menyatakan hasrat kepada pihak Jaipk untuk membantu menyumbangkan kerusi serta meja kepada sekolah-sekolah yang memerlukan.

“Jika ada sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan kerusi meja baru, kita akan cuba usahakan bersama-sama dengan pihak Jaipk,” jelasnya.

Sebelum ini, syarikat tersebut telah menyumbangkan rak rehal kepada Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).