IPOH – Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Marian Convent Ipoh, dinobatkan sebagai peminjam buku terbanyak kategori kanak-kanak bagi tahun 2020 oleh Perpustakaan Tun Razak (PTR), hari ini.

V Kiranyaah, 10, ketika ditemui Peraktastic sempena Sambutan Hari Buku Sedunia 2021 peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang diraikan di sini, pagi tadi berkata, dia telah membaca sejumlah 105 buah buku pelbagai genre pada tahun lalu.

Dia yang berjinak-jinak membaca buku sejak kecil itu memberitahu kedua ibu bapanya selalu memberi galakan untuk dia dan dua adik perempuannya untuk menjadikan aktiviti tersebut sebagai hobi yang sihat.

“Setiap hari, saya akan meluangkan masa membaca buku antara 30 minit sehingga dua jam dan mampu menghabiskan sebuah buku hanya dalam tempoh sehari,” katanya yang telah menjadi ahli PTR sejak berusia lima tahun.

Peminat naskhah Harry Potter yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor itu, sememangnya meminati aneka bahan bacaan, tak kira sama ada ilmiah ataupun santai sejak kecil lagi.

“Banyak yang saya belajar melalui pembacaan dan aktiviti ini akan diteruskan sampai bila-bila,” ujarnya yang ditemani bapanya, T Veveganathan, 42.

Bagi penerima anugerah peminjam buku terbanyak kategori warga emas, Phuan Im Wah, 59, pula berkata, dia akan membaca buku setiap kali jika terdapat masa terluang.

“Saya mula meminjam buku daripada Perpustakaan Komuniti berhampiran rumah di Kampung Tawas sewaktu berusia 19 tahun.

"Dulu saya suka baca novel atau sastera bahasa Cina tetapi sekarang saya cenderung untuk membaca buku yang lebih santai dalam bahasa Inggeris,” katanya yang bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily.

Selain Kiranyaah dan Phuan, dua lagi penerima anugerah adalah Seeni Surath Faritha (kategori dewasa) dan Mardhiah Mohd Asri (kategori remaja).

Keempat-empat mereka menerima sijil penghargaan dan hamper yang disampaikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud pada majlis tersebut.

Sementara itu, Rumaizi berkata, MBI dalam proses perbincangan untuk melaksanakan sistem perpustakaan digital yang akan dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Katanya, sejurus proses itu selesai, ahli perpustakaan boleh berhubung dengan perpustakaan lain di seluruh dunia.

Pada majlis tersebut, PTR turut mengadakan aktiviti membaca secara serentak selama 10 minit.

Hari Buku Sedunia adalah acara tahunan yang disambut buat kali pertama pada 23 April 1995.

Sambutan ini diatur oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), untuk menggalakkan aktiviti membaca, penerbitan dan menjaga hak cipta.