GOPENG - Persatuan Homestay Perak (PHP) tampil menceriakan suasana Hari Raya Aidilfitri kepada para barisan petugas hadapan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang bermula 12 Mei lalu.

Pengerusinya, Noradidah Mokhtar berkata, sumbangan yang disampaikan bertujuan memberi sokongan kepada para barisan petugas hadapan khasnya anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat dalam tempoh PKP.

"Pengorbanan anggota-anggota keselamatan terlalu besar kepada negara. Mereka bertugas tanpa mengira siang dan malam demi mengawal penularan wabak pandemik Covid-19 terutamanya sewaktu musim perayaan ini.

"Kami telah mengenalpasti lima lokasi agihan sumbangan iaitu Balai Polis Kampung Tawas, Balai Polis Gopeng, Tol Ipoh Selatan, Tol Gopeng dan Tol Simpang Pulai.

"Kami telah membuat permohonan perlepasan rentas daerah di Balai Polis Kampung Tawas untuk melaksanakan program ini dan semuanya berjalan dengan lancar mengiku prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya yang juga merangkap Naib Pengerusi Pertubuhan Homestay Malaysia dan Pengerusi Persatuan Informasi Pelancongan dan Kesihatan Perak.

Antara sumbangan itu ialah selain kuih muih, turut disertakan hidangan tradisional hari raya iaitu ketupat, nasi himpit dan rendang.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Budak Bas Stand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud (Tok Anjang).

Sementara itu Ketua Polis Balai Kampung Tawas, Mohd Zafril Kamarozaman berkata, keprihatinan dan sokongan dari pelbagai pihak kepada petugas-petugas hadapan sememangnya memberi suntikan semangat untuk terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Kami sangat menghargai usaha yang dilakukan oleh pihak PHP. Kita semua sentiasa memerlukan sokongan dan kerjasama antara satu sama lain apatah lagi kita sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Sumbangan makanan hari raya ini setidak-tidaknya mampu mengubat rasa rindu kepada keluarga di kampung halaman. Semua antara kita telah memberi pengorbanan yang besar kepada negara demi memastikan  kesejahteraan kita semua,” ujarnya.