IPOH – Selain baju dan kuih raya, turut menjadi keinginan bagi sesetengah orang semasa musim perayaan Aidilfitri ialah memiliki telefon pintar idaman walaupun perlu membayar harga yang tinggi.

Telefon pintar iPhone misalnya antara yang menjadi pilihan penggemarnya walaupun berada pada paras tanda harga premium antaranya kerana sifat mudah guna selain kepelbagaian aplikasi untuk membantu kerja-kerja pada hujung jari.

Sebab itu iPhone terpakai turut mendapat permintaan baik misalnya di premis Perut.Ipoh – Tech Specialist (Perut.Ipoh) yang terletak di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park di sini.

Penasihat Jualan Perut.Ipoh, Arif Fitri Mursalim berkata, sepanjang bulan ini sehingga semalam pihaknya telah menjual sebanyak 26 unit iPhone terpakai pelbagai model dengan nilai jualan kira-kira RM65,000.

Menurut beliau, berdasarkan trend jualan memang akan ada peningkatan menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bermula pada bulan Mac, April hingga Mei.

“Pada April lalu misalnya kami telah menjual sebanyak 55 unit iPhone pelbagai model dengan nilai jualan mencecah RM150,000 manakala pada Mac pula 102 unit terjual dengan nilai jualan RM250,000.

“Pelanggan kami terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia dengan rata-ratanya ingin mendapatkan telefon pintar jenama iPhone terpakai berkualiti premium pada harga berpatutan,” ujarnya.

Nilai jualan ini termasuklah juga jualan aksesori dan khidmat membaiki semua jenis gajet serta telefon pintar yang ditawarkan di premis tersebut.

Premis milik bumiputera itu menjual sembilan variasi telefon pintar Apple daripada iPhone 7 pada harga RM699 hinggalah iPhone 11 Pro Max dengan tanda harga RM4,299 iaitu 30 peratus lebih rendah berbanding model baharu.

Arif Fitri berkata, kesemua telefon pintar iPhone terpakai berkualiti premium ini diperolehi daripada pembekal di Amerika Syarikat (AS) dan bukan model yang telah dibaik pulih.

“Kualitinya dijamin dan tiada kesan calar pada skrin mahupun badan telefon. Kami juga tidak mengubah apa-apa pada telefon termasuk perisian dan komponen,” ujarnya.

Setiap set iPhone dijual lengkap bersama kotak, alat pengecas dan fon telinga dengan jaminan selama sebulan.