IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah membaik pulih serta menaik taraf lapan pondok menunggu bas di sekitar bandaraya ini demi menyediakan keselesaan kepada orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, kerja-kerja tersebut yang dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula pada 8 Mac lalu dan siap sepenuhnya pada 4 April.

Menurutnya, antara lokasi yang terlibat ialah di pondok menunggu bas Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Raja Ekram, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Raja Ashman Shah dan beberapa lokasi lain.

“Keseluruhannya MBI telah membelanjakan kira-kira RM111,860 untuk membaik pulih serta menaik taraf kemudahan awam ini.

“Antaranya seperti membaiki kerosakan bumbung, besi penghadang selain memasang besi pemegang bagi memudahkan pengguna orang kelainan upaya (OKU),” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Selain itu, pondok menunggu bas ini juga menggunakan cat anti karat supaya lebih tahan lama serta dipasang dengan lampu berkuasa solar.

Tambah Rumaizi lagi, MBI merancang untik menaik taraf lebih banyak lagi kemudahan pondok menunggu bas bergantung kepada peruntukan kewangan.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 193 buah pondok menunggu bas di dalam kawasan kendalian MBI.