MANJUNG – Kaunter perkhidmatan pelanggan (kaunter utama) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepertimana dikuatkuasakan sehingga 7 Jun ini.

MPM dalam satu kenyataan memberitahu, kaunter ini akan beroperasi mulai jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang sepanjang tempoh tersebut.

"Bagaimanapun, orang ramai digalakkan untuk melaksanakan urusan secara atas talian bagi mengelakkan kesesakan selaras dengan langkah keselamatan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Pembayaran atas talian boleh dilakukan menerusi Portal E-PBT online di https://pbtpay.kpkt.gov.my atau Jom Pay menerusi perbankan internet.

“Manakala pelanggan yang berurusan di kaunter diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan iaitu memakai pelitup muka, mengimbas suhu badan, mengimbas Kod QR MySejahtera dan memastikan penjarakan fizikal,” ujar kenyataan tersebut.

Bagi kaunter pejabat MPM Cawangan Pulau Pangkor pula, waktu operasinya adalah mulai jam 8.15 pagi sehingga 12 tengah hari sepanjang tempoh sama semasa PKP.

Sementara itu, waktu operasi bagi urusan semua kaunter Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) sepanjang tempoh PKP 3.0 adalah bermula jam 8.30 pagi hingga tiga petang.