IPOH – Penindasan yang dihadapi rakyat Palestin ketika turut dirasai warga negeri ini apabila kerajaan Perak hari ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin bertujuan mengutip dana bagi membantu meringankan penderitaan rakyat negara itu yang menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, buat permulaan Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak bersetuju menyediakan bantuan RM100,000 untuk disalurkan ke tabung tersebut dan akan disusuli dengan sumbangan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

“Tabung ini adalah tanda solidariti rakyat Perak tanpa mengira kaum dan anutan agama dalam menyokong bantahan dunia terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar, kerajaan negeri meminta bantuan Ahli Parlimen Parit, Datuk Nizar Zakaria sebagai pemimpin yang terlibat aktif dalam misi kemanusiaan ke Palestin untuk berhubung terus dengan pihak berkuasa negara tersebut selain melalui bantuan pihak Wisma Putra,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Inisiatif ini juga akan dipanjangkan kepada jabatan dan agensi kerajaan, selain sektor swasta dan persendirian daripada seluruh negeri Perak.

Pada Isnin lalu, 42 penduduk Palestin di Semenanjung Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel menjadikan ia tragedi korban terburuk sepanjang pertempuran maut yang berlangsung hampir seminggu.

Malah, tragedi berdarah itu berlaku ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang mengadakan perbincangan mengenai konflik yang semakin meningkat serta turut mencetuskan kecemasan global.