IPOH- Peluang mendapatkan khidmat sanitasi atau nyah kuman secara percuma tidak seharusnya dilepaskan terutama situasi pandemik Covid-19 yang semakin mengancam di negara masa kini.

Perancang Kesihatan Coway, Ahmad ‘Ala Uddin Muhammad, 29, berkata pihak pengurusan Coway memandang serius akan penularan wabak merbahaya itu terutamanya dalam kalangan golongan  berpendapatan rendah iaitu B40.

“Coway menyahut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, agar proses sanitasi dapat dilakukan sendri oleh pemilik kediaman masing-masing sebagai langkah menyekat penularan wabak Covid-19.

“Kempen Rasa Sayang merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP) tahun lalu dengan pemberian sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, dan kini PKP 3.0 kami menawarkan sanitasi percuma dari rumah ke rumah.

“Selain dari golongan B40 kami juga mensasarkan golongan warga emas dan kanak-kanak yang berisiko tinggi,” katanya kepada Peraktastic selepas melakukan sanitasi di kediaman milik Abidin Jali Hijazi Mat Jiri di Bercham, di sini, hari ini.

Selain dari pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sewaktu melaksanakan kempen itu, Coway juga memastikan bahan larutan pembasmian kuman yang digunakan diperakui keselamatannya melalui Arahan Sekatan Bahan Berbahaya (Restriction of Certain Hazardous Substances) RoHS yang di keluarkan oleh Persatuan Negara-Negara Uni Eropah (UE).

“Kami menggunakan Coway Fogger Machine bersama larutan tersebut. Kepulan asap terus memasuki keseluruhan ruang rumah tanpa meninggalkan kesan basah, kulapuk dan bau. Ini adalah keistimewaan kaedah sanitasi yang kami ingin kongsikan kepada semua.

“Pembasmian kuman tanpa alkohol yang diperbuat dari bahan-bahan semulajadi ini mampu membunuh 99.99 peratus kuman sepantas 10 saat dan selamat kepada kanak-kanak dan haiwan peliharaan, “ ujarnya.

Sementara itu, Abidin Jali Hijazi Mat Jiri, 70, dari Bercham berkata peluang yang ditawarkan oleh Coway secara percuma itu, memberi manfaat bukan sahaja kepada kesihatan keluarga malah dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Saya difahamkan setakat ini sebanyak 10,000 buah rumah telah berjaya disanitasikan oleh 100 orang petugas yang terdiri daripada ejen Coway. Ini adalah usaha murni Coway dalam membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19 ini.

“Saya berharap kempen ini akan diteruskan dan orang ramai rebutlah peluang keemasan ini untuk kesejahteraan kita bersama,” tegasnya.

Orang ramai yang ingin mendapat perkhidmatan percuma ini bolehlah menghubungi Ahmad ‘Ala Uddin terus di talian atau WhatsApp ke nombor 018-574 0631.