IPOH – Walaupun berpanas dan berhujan, anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tetap komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka terutamanya sewaktu pandemik Covid-19 ini.

Dedikasi mereka dapat dilihat ketika menjalankan tugas penguatkuasaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Stadium Indera Mulia di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, seramai 32 anggota penguatkuasa ditugaskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan sejak 22 Mei lalu.

Menurutnya, anggota terbabit bertugas dalam dua syif mulai jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 12 tengah hari hingga 5 petang (atau sehingga jam 6 petang).

“Setiap hari 16 anggota akan bertugas pada sebelah pagi dan 16 lagi akan bertugas pada sebelah petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sebelum ini, dari 10 Mac hingga 21 Mei yang lalu, hanya empat anggota ditugaskan pada setiap masa.

Beliau berkata, pelbagai skop tugas yang dijalankan anggota penguatkuasaan terbabit antaranya termasuklah mengawal keadaan lalu lintas dan menjaga parkir berhampiran pusat berkenaan.

“Mereka juga membantu penerima vaksin serta waris yang hadir ke pusat tersebut untuk mengimbas aplikasi MySejahtera dan menyemak tarikh temujanji.

“Selain itu, anggota terbabit turut mengawal keadaan orang ramai agar berjalan lancar serta memastikan mereka (orang ramai) mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.