IPOH - Pelbagai usaha dijalankan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mengekang pandemik Covid-19 daripada menular terutamanya di kawasan-kawasan awam yang berisiko serta terdedah kepada penyebaran wabak ini.

Salah satunya adalah dengan menjalankan kerja-kerja disinfeksi di 19 pasar awam dan sebuah pusat penyembelihan ayam di sekitar bandaraya Ipoh. 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, kerja-kerja disinfeksi di pasar-pasar awam sekitar bandaraya ini bermula sejak awal pandemik Covid-19 mengikut jadual bulanan yang ditetapkan. 
 
Menurutnya, sejak Mac hingga Disember tahun lalu, sejumlah 136 aktiviti disinfeksi ini dijalankan secara berkala. 
 
"Aktiviti itu diteruskan dari semasa ke semasa dan bermula 1 Januari hingga 31 Mei tahun ini, sejumlah 47 aktiviti disinfeksi telah dijalankan di pasar-pasar awam MBI. 
 
"Malah, petang tadi (semalam), kita menjalankan aktiviti disinfeksi di Pasar Simpang Pulai," katanya dalam satu kenyataan media, semalam. 
 
Justeru, beliau berharap inisiatif yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut dapat membantu mengawal penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara pada ketika ini.