IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini memaklumkan bahawa Pasar Tanjung Rambutan bebas daripada Covid-19 dan beroperasi seperti biasa mengikut arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut mengeluarkan notis pemberitahuan itu rentetan mesej palsu yang tular melalui media sosial dan aplikasi Whatsapp berhubung seorang peniaga daging didapati positif Covid-19 dan masih berniaga di pasar berkenaan. 
 
Difahamkan, mesej yang tersebar sejak 31 Mei lalu menyebabkan pelanggan bimbang untuk pergi ke pasar itu sehingga mengakibatkan hasil jualan peniaga terjejas. 
 
Bagaimanapun, peniaga daging yang didakwa di dalam mesej palsu itu telah menjalani ujian calitan Covid-19 dan keputusan yang diperolehi adalah negatif. 
 
Peniaga itu juga telah membuat laporan polis bagi mengesan pihak yang menyebarkan berita palsu mengenainya berhubung perkara tersebut.