Taiping- 27 Dec 2019 : Lukisan mural yang mengabadikan kisah sejarah Amelia Earhart iaitu wanita pertama melakukan penerbangan solo merentasi Lautan Atlantik 1932 direkodkan ke dalam The Malaysia Book Of Record sebagai The Biggest Outdoor 3D Mural Painting.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT),  Borhan Abdul Halim berkata pengiktirafan ini juga merupakan pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

"Pihak MPT merakamkan ribuan terima kasih kepada Hueck Capital Sdn.Bhd., sebagai penaja keseluruhan mural ini. Saya difahamkan jumlah keseluruhannya menelan belanja sejumlah RM280,000", katanya pada media selepas majlis pengiktirafan The Malaysia Book Of Record di Jalan Abdul Jalil, Taiping

Mural sejarah Amelia Earhart itu berjaya dihasilkan oleh enam orang pelukis dengan menggabungkan tujuh warna berbeza yg berasaskan warna hitam dan putih. Ianya berukuran 47 kaki tinggi dan 90 kaki lebar dan keseluruhan keluasannya 281.07 meter persegi.

Menurut sejarah Amelia Earhart, 39, telah mendarat di lapangan Tekah, Taiping pada 20 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura. 

Namun malangnya pesawat Lockheed Model 10-E Electra yang dipandu olehnya bersama rakan pesawat Fred Noonan dilaporkan hilang di lautan pasifik dalam perjalanan menuju Howland Island dari Lea, Papua New Guinea pada 2 Julai 1937 dalam percubaannya memecah rekod penerbangan menjelajah dunia.

Menurut Borhan lagi, pada tahun 2020 pihak MPT akan melaksanakan 12 buah lagi mural disekitar bandaraya Taiping.  

"Untuk peringkat pertama lukisan mural seterusnya akan bermula pada Januari hingga Mac. Kesemua lukisan mural tersebut melibatkan sejarah dan tokoh-tokoh anak jati Taiping yang pernah berjasa kepada negara", katanya.

Sementara itu Borhan juga turut mengumumkan MPT telah menerima sebuah bas sumbangan kerajaan Jepun melalui Japan International Cooperation Agency (JICA).

"Bas ini menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya dan dijangka akan beroperasi sedikit masa lagi. Perkhidmatan bas ini khusus untuk laluan Jejak Warisan dan laluan mural warisan Taiping. 

"Saya berharap dengan adanya bas ini akan merancakkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2020 dan akan menarik lebih ramai pelancong ke bandaraya warisan Taiping", katanya.