IPOH - Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui program MBI Prihatin tidak pernah berhenti menyalurkan sumbangan kepada penduduk-penduduk di sekitar bandaraya Ipoh yang memerlukan. 

Ahli Majlis Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman bersama beberapa wakil turun padang untuk menghantar sumbangan barangan asas dapur dan pelitup muka kepada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19. 

Menurutnya, barangan tersebut diagihkan kepada 50 keluarga yang berada di kawasan Kampung Kuang Hilir, Taman Chemor Mesra, Kampung Baru Tanah Hitam dan Kampung Gunung Genting Tambun, hari ini. 

"Hari ini kami berkesempatan untuk meneruskan program sumbangan MBI prihatin di kawasan Hulu Kinta. 

"Program ini dilakukan secara berperingkat untuk membantu golongan yang dikenal pasti terjejas khususnya sewaktu pandemik Covid-19," katanya kepada Peraktastic, hari ini. 

Di samping itu, Mazlan turut meluangkan masa melawat seorang pesakit yang menghidap penyakit kencing manis, Zalina Osman (Makcik Nab), 56, untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban. 

"Kami juga berkesempatan singgah ke rumah Makcik Nab yang menghidap penyakit kencing manis. 

"Akibat penyakit itu, dia terpaksa melakukan pembedahan di bahagian kaki kiri dan ini menyukarkannya untuk bergerak. 

"Atas keprihatinan tersebut, kami menyampaikan sedikit sumbangan agar dapat menceriakan harinya. 

"Oleh itu, marilah kita memohon doa supaya Makcik Nab akan dipermudahkan proses penyembuhannya dan terus bersemangat untuk menjalani kehidupan harian," ujarnya.