IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tidak terkecuali daripada mendapat bantuan sewajarnya daripada mereka.

Sehubungan itu, Ahli Majlis MBI Zon 11 (Bercham), Ho Wai Mun mengambil inisiatif mengedarkan kotak bekalan makanan kepada penduduk di sekitar kawasan Bercham, hari ini.

Beliau turut dibantu Ketua Kampung Bercham Choo Kam Kau bersama ahli-ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPKK) Zon 11.

Antara barangan yang terdapat dalam kotak tersebut termasuklah beras, minyak masak, gula, sardin, bihun, tepung gandum, ubat gigi, pelitup muka dan beberapa barangan asas lain yang sesuai digunakan untuk keperluan harian.

“Kita memahami masalah yang dialami oleh rakyat dan kita cuba membantu sedaya upaya untuk meringankan beban mereka terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Bantuan yang disampaikan ini menunjukkan keprihatinan dan tanda sayang MBI kepada rakyat yang memerlukan.

“Justeru, kita berharap sumbangan ini dianggap sebagai satu sokongan minda untuk kita bersama-sama mengharungi cabaran hidup khususnya di saat pandemik ini,” ujarnya.