IPOH- Hospital Pakar KPJ Ipoh kini diiktiraf sebagai hospital swasta ketiga di bandaraya ini yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ, Yusmah Salleh berkata, pihak pengurusan KPJ Ipoh menyokong baik saranan kerajaan dalam memastikan orang ramai menerima vaksin Covid-19 dengan segera.

“Pembukaan PPV di KPJ ini dapat membantu kerajaan mempercepatkan kapasiti pemberian vaksin kepada masyarakat seperti yang dirancang sebanyak 800 dos sehari kepada 15,000 dos sehari.

“Pemberian vaksinasi ini adalah dibawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JPN). Sebanyak 200 dos vaksin setiap hari diperuntukan kepada orang ramai.

"Semua temujanji untuk suntikan vaksin ini bergantung kepada yang diperuntukan oleh ProtectHealth melalui MySejahtera. Seramai 30 kakitangan hospital ditugaskan untuk urusan vaksinasi setiap hari dan waktu operasi adalah dari jam 9 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat,” katanya pada media di PPV KPJ semalam.

Seorang penerima vaksin, Salasiah Jahar, 68,dari Ipoh, berasa gembira kerana apabila menerima temujanji untuk mendapatkan vaksinasi.

"Setelah menunggu sekian lama akhirnya saya dipanggil untuk menerima suntikan vaksin. Setakat ini, saya tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima suntikan dos pertama. Saya berharap orang ramai tidak perlu ragu-ragu untuk menerima vaksinasi. Laksanakanlah tanggungjawab kita untuk kesejahteraan bersama,” katanya.