IPOH – Satu wacana tentang sejarah orang-orang Melayu di Ipoh telah diadakan secara dalam talian bagi membincangkan isu warisan yang masih boleh dipulihara sebagai tatapan generasi baharu selain memperkasakan butiran sejarah asal bandaraya ini.

Wacana Legasi Landskap Taman Melayu dan Perkampungan Kuchai Perak dikelolakan oleh Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Perak.

Objektifnya untuk mengangkat sejarah warisan orang Melayu menerusi fakta, penelitian aspek, mempertingkatkan ilmu dan warisan pembangunan bandar melalui penyebaran maklumat.

Prof Madya Mohd Sabrizaa Abd Rashid, KUTAI UiTM Cawangan Perak (Centre for Knowledge & Understanding of Tropical Architecture & Interior) selaku moderator.

Sesi pembuka wacana telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud yang menjelaskan secara asas sejarah pembangunan Ipoh dari sebuah perkampungan Melayu pada 1880 sehingga menjadi perbandaran moden.

Kata Rumaizi, menurut catatan lama terdapat beberapa buah kampung di sepanjang Sungai Kinta seperti Kampung pisang (kini Medan Istana), kampung Ipoh, Kampung Masjid Lama, Kampung Paloh, Kampung Jawa dan Kampung Kuchai

“Kampung Kuchai bersempadan dengan Sungai Kinta, Jalan Datoh, Jalan Onn Jaafar dan Jalan Masjid merupakan satu-satunya tanah warisan orang-orang Melayu yang masih wujud di tengah-tengah bandaraya Ipoh.

“Ia adalah penempatan awal orang Melayu. Dahulunya pernah menjadi persinggahan golongan bangsawan, pedagang selain meriah dengan pelbagai aktiviti ekonomi dan menjadi saksi sejarah pembangunan awal orang Melayu di bandar Ipoh.

“Bagaimanapun situasi kampung kini dalam keadaan terbiar.

“Sebelum ini ada cadangan untuk memajukan Kampung Kuchai oleh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi berhadapan kekangan seperti soal perundangan, pemilikan tanah serta peruntukan khusus menyebabkan perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan pantas,” ujarnya.

 Menurut Rumaizi lagi, pihak penyelidik dari KUTAI UiTM bersama beberapa organisasi kerajaan termasuk MBI mengambil usaha untuk memulihara kembali sejarah Kampung Kuchai bersama I-KPKT, Persatuan Landskap Awam Malaysia, Jabatan Warisan Negara dan Persatuan Keluarga Kulop Kinta.

Katanya, menerusi kerjasama ini juga akan menyediakan platform bagi menjana idea dalam melaksanakan salah satu kerjasama strategik dalam pelan pembangunan bandaraya Ipoh untuk menjadi bandar yang berfalsafah sejarah, warisan, hipster dan kraf seiring dengan pembangunan.

Sementara itu, salah seorang peserta wacana, Presiden Persatuan Keluarga Kulop Kinta, Fazil Shuhaimi Talib berkata, Kampung Paloh dan Kampung Kuchai antara penempatan Melayu terawal yang didiami Panglima Kinta kedua, Toh Changkat Saga dan Panglima Kinta keempat, Toh Paloh sejak awal tahun 1700-an.

Menurutnya, semasa era kolonial, Kampung Paloh/Kuchai merupakan penempatan orang Melayu yang sangat maju kerana Raja dan pembesar-pembesar Melayu tertumpu di sini.

Katanya, Kampung Paloh juga menempatkan makan lapan Panglima Kinta antaranya Tok Changkat Saga dan Panglima Kinta ke-15, Dato’ Tahwil Azar.

“Kawasan ini menempatkan dua masjid utama Ipoh iaitu Masjid Panglima Kinta (Madrasah Kamaliah) dan Masjid Paloh (Madrasah Sharipah), sebuah sekolah Melayu terawal dan beberapa rumah pembesar Melayu.

“Ia juga merupakan pusat kegiatan utama masyarakat Melayu Ipoh termasuk politik yang menyaksikan penubuhan UMNO Perak dipelopori oleh Datuk Panglima Bukit Gantang Wahab yang juga Menteri Besar pertama Perak pada 1948 hingga 1957,” ujarnya.

Jelas Fazil Shuhaimi lagi, deretan rumah bandar wakaf Toh Puan Saripah Rodziah di Jalan Datoh merupakan contoh pembangunan bandar Melayu di Ipoh dan bukannya oleh pendatang asing.

“Rumah-rumah kedai ini pernah menjadi pejabat surat khabar Warta Kinta, Persatuan Melayu Perak, All-Malay Muslim Missionary Society (Kinta Branch), Malay Drivers Association of Perak, Malay Badminton Association of Perak dan Persatuan Bawean,” katanya.