IPOH – Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima 2,260 aduan berhubung masalah haiwan terbiar dan berkeliaran bagi tempoh tiga tahun.

Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasaan Bandaraya, Ahmad Zaiyadi Sudin berkata, aduan itu membabitkan anjing, kucing, kerbau, lembu dan kambing.

Katanya, antara aduan yang diterima termasuklah isu anjing menyerang, menggigit, mengejar, bunyi salakan tanpa henti yang mewujudkan kacau ganggu kepada jiran, memusnahkan haiwan lain seperti kucing dan isu buang najis di merata tempat serta mengeluarkan bau tidak selesa kepada jiran.

Tambahnya, antara isu lain adalah anjing menyelongkar sampah sarap sehingga bertaburan dan sukar dikutip petugas majlis, anjing berkeliaran di kawasan tidak dibenarkan di tempat awam sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung seperti pasar awam, taman rekreasi dan di kawasan pelancongan.

“Aduan berhubung isu najis lembu dan kerbau yang bertaburan atas jalan, merosakkan tanaman serta memberi ancaman keselamatan lalu lintas turut kita terima daripada orang awam,” katanya.

Menurutnya, melalui aduan tersebut pihaknya telah menangkap sejumlah 95 ekor anjing manakala 191 ekor anjing lagi diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta dipulangkan kepada pemilik haiwan tersebut sepanjang tahun 2020 dan 2021.

“Bagi lembu, kerbau dan kambing, kita berjaya menangkap sejumlah 80 ekor untuk tempoh dua tahun namun pada tahun ini masih belum ada tangkapan dibuat memandangkan anggota penguatkuasa terlibat dalam kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan pada program MBI dan Anda Siri Tiga yang membawakan topik Penguatkuasaan ‘Haiwan Terbiar dan Berkeliaran’ dan dikendalikan Pengarah Kanan (Pentadbiran dan Operasi) MBI, Musa Dun yang bertindak sebagai Moderator .

Program yang diadakan secara langsung di Facebook MBI pada hari ini turut menjemput Pegawai Undang-undang MBI, Radin Amir Afifi Ahmad Aruani.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zaiyadi berkata, sejak tahun 2018 sehingga tahun ini, sebanyak 677 kompaun dikenakan ke atas pemilik anjing dengan denda bernilai RM250 setiap satu.

“Manakala bagi pemilik yang ingin menuntut semula haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing yang telah disita, mereka perlu menjelaskan kadar denda bernilai RM2,000 untuk seekor,” jelasnya.

Katanya, terdapat dua unit yang menjalankan tugas bagi menyelesaikan masalah haiwan terbiar dan berkeliaran ini.

“Kita mewujudkan dua unit iaitu Unit Kawalan Anjing yang mempunyai lapan anggota melibatkan dua pembantu penguat kuasa dan enam pembantu awam bagi tujuan menangkap dan memindahkan haiwan ke tempat sesuai serta Unit Haiwan Merayau membabitkan 15 anggota termasuk ketua yang bertugas untuk bertemu pemilik haiwan, memberi nasihat dan akhirnya membuat tangkapan serta mengenakan denda ke mereka,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kaedah untuk menangkap haiwan beliau berkata, pihaknya menggunakan alat-alat seperti penyauk dan gelung sepertimana yang pernah dicadangkan NGO.

“Anggota kita amat terlatih dan penggunaan alat-alat itu adalah yang paling sesuai dan selamat serta kurang mendatangkan kecederaan kepada haiwan. Selain itu kita ada kaedah lain menggunakan jaring dan perangkap. Kita juga pernah menggunakan senjata api satu ketika dulu.

“Bagaimanapun, ketika ini tidak menggunakannya (senjata api) kecuali untuk pembasmian wabak bagi membantu Jabatan Veterinar sepertimana yang berlaku di Taiping sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi lembu dan kerbau, pihaknya akan menggunakan tali bagi menjerut leher haiwan tersebut sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan MBI.

“Kita turut mendapat bantuan daripada komuniti dan individu untuk kurung dan letakkan haiwan di satu tempat sebelum kita ambil untuk tindakan seterusnya.

“Pada masa sama, kita juga mengambil kontraktor untuk tembakan pelali dan kaedah ini akan diteruskan selain mendapatkan bantuan pegawai veterinar dalam menangani isu-isu yang dihadapi,” jelasnya.

Sementara itu, Radin Amir Afifi  menjelaskan terdapat dua undang-undang kecil dan akta yang diguna pakai bagi mengawal selia menguruskan serta melaksanakan tugas penguatkuasaan berhubung perkara berkenaan.

“Terdapat dua undang-undang utama yang kita rujuk sebagai panduan kepada Jabatan Penguatkasaan dan Pelesenan iaitu Undang-undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau (MBI) 2014 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing (MPI) 1987 pindaan 1990,” katanya.

Menurutnya, bagi Undang-undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau (MBI) 2014 pemunya atau pemegang lesen tidak boleh membiarkan haiwan ternakan merayau-rayau  dalam kawasan majlis.

“Jika didapati haiwan itu merayau-rayau dalam kawasan MBI, ia boleh ditangkap dengan apa jua cara dan dibawa ke satu tempat simpanan yang ditentukan oleh Datuk Bandar,” ujarnya.

Bagi Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing (MPI) 1987 pindaan 1990 pula beliau menegaskan anjing yang berusia tiga bulan ke atas diwajibkan mempunyai lesen.

“Sekiranya anjing telah didaftarkan, MBI akan berikan lencana logam untuk dipakaikan kepada anjing sebagai tanda pengenalan diri.

“Undang-undang ini turut mewajibkan pemunya untuk menjaga kesejahteraan dan anjing daripada kacau ganggu, serta mengambil langkah segera jika berpenyakit untuk diperiksa dan dirawat oleh doktor veterinar.

“Pemunya perlu menyenggara rumah kucing dan mesti berada dalam keadaan bersih, memastikan anjing tidak mengganggu dengan salakan tidak henti-henti sehingga menggangu jiran kawasan perumahan perlu lihat sensitiviti dan keharmonian penduduk sekeliling.

“Haiwan tersebut juga tidak dibenarkan merayau di premis pemunya dan mesti berikat apabila dibawa keluar dari premis.

“Selain itu, hanya dua ekor anjing boleh dipelihara bergantung kepada keluasan premis,” katanya.